KUCHING: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB), untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, sekali gus yang tertinggi dalam lima tahun.
Syarikat pengurusan amanah unit milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu mengagihkan pendapatan tersebut yang terdiri daripada, pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit.

Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, ia melibatkan jumlah keseluruhan pembayaran sebanyak RM10.1 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 11.1 juta pemegang unit ASB.
“Kami berbesar hati kerana ASB dapat memberikan pengagihan dividen terbaik dan paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun.
“Ini meneruskan rekod prestasi kukuh dana Harga Tetap ASNB yang mengatasi portfolio rujukannya, selaras dengan matlamat PNB untuk meningkatkan taraf kewangan rakyat Malaysia merentasi generasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.
Tambahnya, ASB terus memberikan pulangan mampan yang melebihi pasaran, mengatasi penanda aras kadar deposit tetap 12 bulan Maybank.
“Jumlah akaun ASB meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 11.1 juta akaun, mencerminkan keyakinan berterusan sebagai platform simpanan dan pelaburan penting bagi Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.
“Malah prestasi yang lebih baik ini dipacu oleh kesan positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB dan pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, didorong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang memberangsangkan serta pengukuhan nilai ringgit,” tambahnya.
Ujarnya, walaupun berdepan ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik kukuh, kadar faedah stabil, dan peningkatan pelaburan asing, hasil daripada sambutan baik pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan.
“Ini termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR), dan Program Pengaktifan dan Reformasi Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” tambahnya.
Katanya lagi, tahun ini juga menyaksikan prestasi cemerlang dana harga berubah ASNB dengan setakat November 2024, semua dana harga mengatasi penanda aras masing-masing dan berada dalam dua kuartil teratas dalam segmen masing-masing.
“Tahun ini juga menyaksikan Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) PNB kembali meningkat kepada RM347 bilion berbanding RM337 bilion pada tahun 2023.
“Jumlah akaun meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada 16.2 juta, dengan ASNB menambah lebih daripada 400,000 pemegang unit baharu, menjadikannya pilihan pelaburan utama bagi lebih 13 juta rakyat Malaysia,” jelasnya.
Bagi mengurangkan penebusan oleh pemegang unit, yang kebiasaannya meningkat selepas pengumuman dividen, ASNB merancang melancarkan kempen “#SimpanJe & Tambah” dan “#SimpanJe & Menang” bermula Januari 2025.
Kempen “#SimpanJe & Tambah” akan memberi ganjaran tambahan hingga 1.5 peratus pulangan tahunan kepada pemegang unit yang mengekalkan baki pegangan minimum tertentu dan menambah pelaburan sehingga RM3,000.
Manakala kempen “#SimpanJe & Menang” menawarkan hadiah seperti pakej umrah atau perjalanan ke Eropah, telefon pintar, dan baucar menarik.
Maklumat lanjut akan diumumkan kelak.
Sementara itu, Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.
Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025.
Transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024.
Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025.


