KUCHING: Lebih ramai pekerja perlu menyertai kesatuan sekerja agar suara pekerja terus kuat dan berpengaruh dalam landskap perburuhan negara.
Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, kadar penyertaan pekerja dalam kesatuan sekerja masih rendah ketika ini.
“Merujuk kepada statistik kesatuan sekerja di Malaysia, sehingga Jun 2025 terdapat sebanyak 788 kesatuan sekerja di seluruh negara dengan jumlah keanggotaan sebanyak 1,047,624 orang.
Daripada jumlah tersebut, Sarawak mencatatkan 73 kesatuan sekerja dengan jumlah keanggotaan seramai 68,834 orang.
Namun, jika dibandingkan dengan jumlah tenaga buruh di Malaysia yang kini mencecah 16.7 juta orang, kadar pekerja yang berkesatuan masih rendah, iaitu kurang daripada 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolokium Pergerakan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, di sini.
Justeru, beliau menyeru semua kesatuan sekerja supaya memperkukuh organisasi masing-masing dengan melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti promosi menggunakan pendekatan kreatif serta inklusif bagi menarik lebih ramai pekerja menyertai kesatuan.
“Menjadi hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai pekerja di negara ini diwakili oleh kesatuan sekerja, dan jumlah keanggotaan dapat ditingkatkan lagi pada tahun ini.
Melalui Kementerian Sumber Manusia, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan pergerakan kesatuan sekerja di Malaysia terus bergerak secara progresif, matang dan relevan selaras dengan kehendak pasaran buruh serta dasar pembangunan negara,” katanya.
Asri menambah, pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 merupakan langkah penting yang membuka ruang lebih luas kepada semua golongan pekerja untuk menubuh dan menyertai mana-mana kesatuan sekerja pilihan mereka.
Katanya, langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh demokrasi perindustrian dan memperluas suara pekerja dalam arus pembangunan negara.
“Kesatuan sekerja bukan sekadar sebuah organisasi. Ia adalah dahan tempat berpaut, rumah tempat berteduh, tempat pekerja mencari perlindungan dan sokongan.
Justeru, kesatuan sekerja perlu terus berfungsi sebagai wadah sah dalam memperjuang serta memperkasa hak, kebajikan dan kesejahteraan golongan pekerja,” jelasnya.





