KUCHING: Detik dinanti-nanti peminat Atas Angin Festival 2026 akhirnya tiba apabila acara itu singgah di destinasi terakhirnya di Star On Stage, Kuching pada Sabtu ini.
Kemasukan adalah percuma kepada orang ramai dan acara itu berlangsung dari jam 4 petang hingga malam.
Menurut kenyataan Atas Angin, ia merupakan tanda penghargaan Atas Angin MY kepada peminat muzik tempatan di Borneo.
“Penganjuran Atas Angin Festival 2026 Tour merupakan inisiatif khas Atas Angin MY sebagai pemanas badan menjelang kemuncak Atas Angin Festival 2026: ONE LAST SHINE, yang akan diadakan pada 14 Februari 2026 di Rooftop @7, MyTown Cheras.
“Siri jelajah ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan festival utama kepada khalayak lebih luas, malah menjadi platform mendekatkan komuniti muzik indie tempatan dengan peminat secara lebih intim,” katanya.
Untuk edisi Kuching, Atas Angin MY akan mempersembahkan enam barisan pemuzik dan artis tempatan, iaitu Heroine, The Rollers, Drasska, Adruce, Jon dan Harith serta Huza, yang bakal mempersembahkan set istimewa masing-masing dalam suasana persembahan santai tetapi bertenaga.
Jelasnya, pemilihan barisan artis ini mencerminkan kepelbagaian warna muzik tempatan yang menjadi teras perjuangan Atas Angin MY sejak penubuhannya.
“Melalui acara ini, Atas Angin MY mensasarkan untuk memperkukuh sokongan peminat Sarawak terhadap festival utama, selain menjadi medan promosi jualan tiket Atas Angin Festival 2026 dengan harga serendah RM105 seorang serta barangan rasmi kepada pengunjung,” ujarnya.
Menurut penganjur, jelajah ini juga merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang Atas Angin MY dalam membina ekosistem muzik bebas yang mampan, inklusif dan merentasi sempadan geografi.
“AAF26 Tour bukan sekadar persembahan pentas, tetapi satu pergerakan membawa semangat Atas Angin MY ke seluruh komuniti muzik tempatan.
“Kuching menjadi penutup yang sangat bermakna sebelum kami melangkah ke ONE LAST SHINE di Kuala Lumpur,” jelasnya lagi.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Atas Angin Festival 2026 Tour Kuching, menikmati persembahan langsung barisan artis terpilih, serta mendapatkan tiket dan cenderamata rasmi Atas Angin Festival 2026 di lokasi acara.



