KUCHING: Ailenna Thipong Laga akui kecewa hanya mampu menyumbang pingat gangsa pada acara olahraga (padang) baling tukul besi wanita yang berlangsung, hari ini.
Menurutnya, perasaan gementar menjadi faktor yang menyebabkan permainannya kurang memuaskan pada hari berkenaan.
“Sebenarnya, saya sedikit kecewa kerana Sarawak mengharapkan emas daripada saya, namun apakan daya … maafkan saya Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Sarawak, semalam.
Mendedah lanjut mengenai sesi latihan, Ailenna memberitahu bahawa dirinya terpaksa akur menjalani latihan sendirian tanpa keberadaan jurulatih di sisi.

Malah, terpaksa mengambil masa 30 minit dari Universiti Malaya (UM) yang terletak di sekitar pusat bandar untuk ke tempat latihan (Bukit Jalil) pada masa terluang bagi sesi latihan.
“Apabila ada masa terluang pada siang hari, saya buat latihan pada pagi. Jika tiada kelas waktu petang, saya buat latihan pada waktu petang. Disebabkan sibuk dengan pengajian, saya hanya menjalani latihan dengan senior (Grace Wong).
“Terima kasih kepada beliau kerana banyak membantu untuk sesi latihan. Selain, cikgu saya di Sarikei walaupun hanya berkesempatan untuk berjumpa dua minggu terakhir sebelum temasya berlangsung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar dapat layak untuk menyertai Sukan Asia Tenggara (SEA).
“Untuk ke arah itu, saya selalu berlatih dari dulu lagi dan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) kerana selalu memberi sokongan menerusi insentif yang diberikan,” ringkasnya.
Ailenna Thipong Laga berjaya membuat balingan sejauh 42.04m, sekali gus meraih gangsa pada acara berkenaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21.
Emas dirangkul Nurul Aiyani Mohamed Kamaluddin dari Pahang dengan balingan sejauh 44.28m, disusuli rapat oleh Nur Salsabila Mohd Zamsairon dari Perlis dengan balingan sejauh 44.10m untuk dapat perak.



