KUCHING: Prestasi cemerlang ditunjukkan pemain skuad para badminton Sarawak dalam Sirkit 1 Kebangsaan Para Badminton Allianz-MSN-BAM 2026.
Kem kendalian jurulatih berpengalaman luas, Suhaili Laiman itu berjaya meraih 11 pingat keseluruhan pada kejohanan enam hari (14-19 April) yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN, Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Dengan lima pingat emas serta tiga pingat perak dan gangsa.

Lima pingat emas disumbangkan oleh Ashley Irenaeus Jeck (Perseorangan Lelaki WH2), Nursyazwani Sahrom (Perseorangan Wanita SL4), Nursyazwani Shahrom & Chan Lee Ching (Beregu Wanita SL3-SU5), Nurzammiezatulsyafiqqah Mohd. Zamberi (Perseorangan Wanita SH6) dan Ashley Irenaeus Jeck (SWAK) / Johari (Terengganu) (Beregu Lelaki WH1/WH2).
Sementara itu, tiga pingat perak disumbangkan oleh Chan Lee Ching (Perseorangan Wanita SL4), Freday Tan Yei Bing (SWAK) & Chew (PRK) (Beregu WH1/WH2) selain gandingan Gregory anak Kanyan & Nursyazwani Shahrom (Beregu Campuran SL3-SU5).
Dalam pada itu, tiga pingat gangsa disumbangkan oleh Hazery Serbani & Chan Lee Ching (Beregu Campuran SL3-SU5), Ryllan Cornellius Megan anak Rudy & Nurzammiezatul Syafiqqah (Beregu Lelaki SH6) serta Ardilles anak Benson & Richie Rillas ak Joseph (Beregu Lelaki SH6).
“Pencapaian cukup memberangsangkan dipamer pemain pada sirkit kali ini.
“Ia merupakan petanda positif untuk kita siap siaga menghadapi temasya Para Sukma Selangor 2026,” ujar Suhaili kepada Arena Suara Sarawak.
Apa yang membanggakan, prestasi cemerlang dipamer barisan pemain baharu yang menyumbang kepada perolehan pingat.


