ARTIKEL

SIMBOLIK... Peleadzman (tengah) menyempurnakan gimik sepak mula bagi merasmikan PYFCT 2026 Edisi Mukah di Padang Mesra MDDM, Mukah, Sabtu lalu.

‘Platform lebih luas’ untuk bakat muda – PETRONAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 17 pasukan Bawah 14 Tahun (B-14) dan Bawah 16 Tahun (B-16) membuka cabaran Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 Edisi Mukah, sekali gus memperluas pentas pembangunan bola sepak akar umbi ke Sarawak tengah.

Saingan yang bermula di Padang Mesra MDDM, Mukah, Sabtu lalu membabitkan lapan pasukan B-14 dan sembilan pasukan B-16 dari sekitar kawasan berkenaan.

SIMBOLIK… Peleadzman (tengah) menyempurnakan gimik sepak mula bagi merasmikan PYFCT 2026 Edisi Mukah di Padang Mesra MDDM, Mukah, Sabtu lalu.

Menurut PETRONAS, peluasan kejohanan ke Mukah mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan bola sepak akar umbi di Sarawak, selain menyediakan platform yang lebih luas untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat muda.

“Edisi Mukah diperkenalkan buat kali pertama tahun ini sebagai sebahagian peluasan PYFCT 2026 bagi memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda menyertai program bola sepak yang tersusun dan kompetitif,” menurut kenyataan itu, semalam.

PETRONAS berkata, PYFCT juga bukan sekadar memberi tumpuan kepada aspek pertandingan, sebaliknya menekankan pembentukan nilai kerja berpasukan, disiplin, ketabahan dan semangat kesukanan dalam kalangan pemain muda.

“Kami mahu pemain bukan sahaja berkembang dari segi kemahiran di atas padang, tetapi turut membina nilai penting seperti kerja berpasukan.

“Dalam masa yang sama memupuk disiplin, ketabahan dan semangat kesukanan yang boleh membantu perkembangan mereka di dalam dan di luar padang,” kata kenyataan itu.

Majlis sepak mula disempurnakan Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, pada 1.45 petang Sabtu lalu.

Untuk rekod, penganjuran kategori B-14 dan B-16 tahun ini merangkumi tiga lokasi utama di Sarawak iaitu Kuching, Mukah dan Bintulu.

Saingan di Kuching bermula pada 27 September lalu, diikuti Mukah pada 10 Oktober, manakala Bintulu dijadual membuka saingan kategori sama pada 17 Oktober.

Saingan Edisi Mukah berlangsung pada hujung minggu sehingga 8 November, dengan perlawanan dijalankan di beberapa lokasi termasuk Padang Mesra MDDM serta kemudahan bola sepak lain yang ditetapkan penganjur.

Pertandingan bagi kategori B-14 dan B-16 menggunakan format bola sepak 11 sebelah, dengan setiap pasukan dibenarkan mendaftarkan paling banyak 20 pemain.

Perlawanan peringkat awal menggunakan format liga satu pusingan, manakala setiap perlawanan berlangsung selama 60 minit, iaitu 30 minit bagi setiap babak dengan rehat lima minit.

Kesemua perlawanan dilaksanakan mengikut Undang-Undang Permainan FIFA serta peraturan pertandingan PYFCT.

Dua pasukan terbaik bagi kategori B-14 dan B-16 akan meneruskan cabaran ke PETRONAS Youth Football Champions League 2026 yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 13 Disember di Kuching.

Saingan Champions League itu menghimpunkan lapan pasukan B-14 dan lapan pasukan B-16, dengan perlawanan akhir dijadualkan berlangsung di Stadium Taha Ariffin.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU