KUCHING: Kontinjen Para Olahraga Sarawak muncul naib juara keseluruhan pada Sirkit 2 Para Olahraga Kebangsaan Allianz-MSN-POPM 2026 selepas mengumpul 58 pingat keseluruhan, iaitu 26 emas, 18 perak dan 14 gangsa.
Pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras dari 15 hingga 17 Julai itu, Sarawak hanya berada di belakang tuan rumah Selangor yang muncul juara keseluruhan dengan kutipan 66 pingat, terdiri daripada 34 emas, 18 perak dan 14 gangsa.

Jurulatih Larian dan Lompatan Pasukan Para Olahraga Sarawak, Muhammad Ameer Idzat Siros, berkata pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif atlet hasil program latihan yang dilaksanakan, sekali gus mengukuhkan keyakinan pasukan menjelang Para SUKMA Selangor 2026.
“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan komitmen dan prestasi yang dipamerkan atlet.

“Selain kejayaan meraih pingat, beberapa atlet turut berjaya mencatat rekod peribadi terbaik, sekali gus membuktikan program latihan yang dilaksanakan berada pada landasan yang betul,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Menurutnya, walaupun keputusan itu memberi keyakinan kepada pasukan, masih terdapat beberapa aspek teknikal yang perlu diperkemas.
“Fokus kami selepas ini adalah meningkatkan konsistensi prestasi, memperhalusi teknik setiap acara dan memastikan atlet mencapai kemuncak prestasi pada temasya lebih besar tidak lama lagi,” ujarnya.

Beliau berharap momentum yang dipamerkan atlet pada kejohanan itu dapat diteruskan bagi membantu Sarawak mencapai keputusan lebih cemerlang pada Para SUKMA Selangor 2026.
Antara pencapaian terbaik atlet di bawah kendalian beliau ialah Victoria Charlie yang memenangi pingat emas acara lompat jauh dengan catatan 4.93 meter, sekali gus memperbaharui rekod peribadi.
Nur Farhani Kudus turut cemerlang apabila meraih dua pingat emas menerusi acara 100 meter dan 200 meter, dengan catatan 29.92 saat dalam acara 200 meter yang juga merupakan rekod peribadinya.

Turut menyumbang pingat emas ialah Mohd Farisan Jasnal dalam acara lompat jauh menerusi lompatan sejauh 4.57 meter.
Dalam acara pecut, Filemon Lirong Dionisus memenangi pingat emas acara 100 meter dan pingat gangsa acara 200 meter, manakala Ranggong anak Unggang meraih pingat emas acara 400 meter serta pingat perak acara 200 meter.
Mohd Arazi Jasmi pula menambah koleksi pingat Sarawak menerusi pingat gangsa acara 100 meter dan pingat perak acara 200 meter.



