KUCHING: Kontinjen tuan rumah, Azlan Mos mencipta rekod kebangsaan baharu menerusi sukan para angkat berat individu bawah 65 kilogram (angkatan terbaik) dengan angkatan 171kg.
Beliau berjaya memadam rekod kebangsaan yang terdahulu oleh Bonnie Bunyau iaitu 170kg, sekali gus menyumbang satu pingat emas kepada negeri bagi Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) ke-21, hari ini.

Azlan ketika ditemu bual mendedahkan cabaran yang dihadapi sepanjang sesi latihan dalam mencapai sasaran untuk memecah rekod tersebut.
“Pelbagai cabaran dilalui dari segi latihan dan kecederaan namun, ia sesuatu yang biasa berlaku. Yang penting, mental perlu kuat untuk mencapai apa yang dihasratkan.
“Terutama sekali perasaan gugup. Sudah tentu semua kita akan gugup bila berhadapan sesuatu, namun jangan dibawa-bawa dan cuba kawal.
“Cuba untuk kekal gembira, tenangkan diri, berjoget-joget atau sebagainya untuk lebih tenang,” katanya
Pada masa sama, beliau turut meraih satu lagi emas bagi acara jumlah angkatan sebanyak 465kg angkatan dalam tiga cubaan iaitu 150kg (cubaan pertama), 155kg (cubaan kedua) dan 160kg (cubaan ketiga).
Sekali gus, menyumbangkan dua pingat emas kepada negeri bagi kedua-dua acara yang dipertandingkan pada temasya kali ini bagi kategori lelaki.
Beliau juga tidak menafikan bahawa ada segelintir orang yang mempersenda kebolehan dirinya untuk meneruskan cita-cita dalam sukan berkenaan.
“Bagi saya, tidak perlu dihiraukan. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” tegasnya.
Dalam pada itu, Muhammad Akmal Danish Mohamad Supi dari Perak membawa pulang pingat perak dengan jumlah 425 angkatan, selain angkatan terbaik iaitu 143kg.
Diikuti Muhamad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis membawa pulang gangsa di tempat ketiga dengan jumlah 333 angkatan, selain angkatan terbaik iaitu 116kg.



