SYDNEY: Australia pada Rabu meluluskan rancangan untuk ladang solar dan bateri yang besar yang akan mengeksport tenaga ke Singapura, sebuah projek yang ditakrifkan sebagai “presint solar terbesar di dunia”.
Pihak berkuasa mengumumkan kelulusan alam sekitar untuk projek SunCable bernilai AS$24 bilion di utara terpencil Australia yang dijangka memberi kuasa kepada tiga juta rumah.
Projek itu, yang akan merangkumi pelbagai panel, bateri dan, akhirnya kabel yang menghubungkan Australia dengan Singapura, disokong oleh jutawan teknologi dan aktivis hijau, Mike Cannon-Brookes.
“Ia akan menjadi presint solar terbesar di dunia dan menandakan Australia sebagai peneraju dunia dalam tenaga hijau,” kata Menteri Alam Sekitar, Tanya Plibersek.
Disasarkan mengeluarkan tenaga bermula pada 2030, ia akan menyediakan empat gigawatt tenaga untuk kegunaan domestik.
Dua lagi gigawatt akan dihantar ke Singapura melalui kabel dasar laut, membekalkan kira-kira 15 peratus daripada keperluan negara kota itu.
Pengarah urusan SunCable Australia, Cameron Garnsworthy berkata, kelulusan itu “saat penting dalam perjalanan projek”.
Walaupun mendapat lampu hijau pada Rabu, banyak proses kelulusan dan halangan lain kekal. Projek ini bergantung pada sokongan daripada pihak berkuasa pasaran tenaga Singapura, Kerajaan Indonesia dan komuniti Orang Asli Australia.
“SunCable kini akan menumpukan usahanya pada peringkat perancangan seterusnya untuk memajukan projek ke arah keputusan pelaburan akhir yang disasarkan menjelang 2027,” kata Garnsworthy.



