KUCHING: Jabatan Pertanian Sarawak telah mengesan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan nama jabatan tersebut bagi tujuan penipuan dengan menyamar sebagai wakil rasmi jabatan.

Pengarahnya, Dominic Chunggat berkata, sindiket terbabit menggunakan nama, logo, dokumen serta lambang rasmi Jabatan Pertanian Sarawak bagi memperdaya orang ramai supaya menyerahkan maklumat peribadi, membuat pembayaran atau terlibat dalam urusan yang mencurigakan.
Beliau menegaskan bahawa jabatan itu tidak pernah melantik mana-mana individu atau pihak ketiga untuk mengutip bayaran atau mengumpul maklumat peribadi orang awam menerusi panggilan telefon, mesej atau komunikasi peribadi.

“Semua urusan rasmi hanya dilakukan melalui saluran yang sah dan diiktiraf oleh jabatan. Kami memandang serius perkara ini dan memberi amaran agar orang ramai tidak mudah terpedaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang panggilan telefon, mesej atau surat yang mencurigakan serta membuat pengesahan dengan menghubungi pejabat Jabatan Pertanian Sarawak yang berhampiran atau menerusi saluran rasmi.
Dalam pada itu, orang ramai juga diminta agar melaporkan sebarang percubaan penipuan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau terus kepada pihak jabatan.
Katanya lagi, pihak Jabatan Pertanian Sarawak akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha membanteras kegiatan penipuan yang menggunakan nama agensi kerajaan dan menjejaskan keyakinan orang awam.
“Kami menyeru masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan tidak terlibat dengan mana-mana urusan yang meragukan,” katanya.



