KUCHING: Nafsu serakah seorang pemotong kayu bakau sehingga sanggup menodai anak perempuannya berusia lapan tahun membawa padah apabila dia ditangkap selepas cuba merogol mangsa pada Isnin lalu.
Suspek berusia 32 tahun itu ditangkap sekitar jam 7.30 malam Selasa lalu di rumahnya di Kampung Selang Ulu, Jalan Matang selepas isterinya melaporkan perbuatan terkutuknya itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata semasa disoal siasat, suspek iaitu Irwan Jeheri tidak mengaku mencabul atau merogol anaknya.
Bagaimanapun, katanya suspek mengaku ada tidur bersama mangsa dan ada memeluknya.
“Suspek juga mengaku semasa tidur ada menggesel kemaluannya di punggung mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Aidil, perbuatan terkutuk suspek terbongkar ketika cuba merogol mangsa di rumah pada Isnin lalu apabila disedari oleh isterinya.
Katanya pada waktu itu, suspek bersama mangsa di dalam bilik namun apabila isterinya masuk, mangsa terus mengadu kepada ibunya bahawa ayahnya cuba merogolnya.
Katanya pengadu juga cuba menafikan perbuatannya itu apabila ditanya isterinya, namun anaknya terus mengatakan ayahnya berbohong.
“Mangsa juga mengatakan ini bukan kali pertama berlaku tetapi sudah tiga kali dalam tahun ini,” kata Aidil.
