BINTANGOR: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak memperkenalkan Piala Cabaran Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 bagi peringkat institusi pengajian tinggi di bawah naungan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut kenyataan itu, penganjuran PSDC 2026 bertujuan menjadi platform untuk membudayakan pemikiran kritis, memperkukuh kemahiran berhujah serta melahirkan mahasiswa yang berkeyakinan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Inisiatif tersebut diperkenalkan semasa kunjungan hormat delegasi AZAM ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang di sini, semalam.
Delegasi AZAM yang diketuai Pengurus Seksyen Komunikasi Strategik, Mohd Hassnal Hakim Junaidi bersama-sama beberapa pegawai AZAM telah disambut oleh Pengarah IPG Kampus Rajang, Dr. Zainal Abiddin Masleh serta barisan pengurusan institut tersebut.
Mohd Hassnal berkata, institusi pendidikan merupakan rakan strategik penting dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti yang bersedia memenuhi keperluan masa hadapan.
“AZAM percaya pembangunan mahasiswa tidak seharusnya terhad kepada pencapaian akademik semata-mata.
“Pendedahan kepada aspek kepimpinan, komunikasi, pengucapan awam dan kesukarelawanan mampu melengkapkan mereka dengan kemahiran insaniah yang diperlukan untuk menjadi pemimpin masa hadapan yang berwibawa,” katanya.
Jelasnya, kerjasama strategik sedemikian bukan sahaja memberi nilai tambah kepada mahasiswa, malah membuka ruang bagi perkongsian kepakaran, pelaksanaan program berimpak tinggi serta memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan organisasi pembangunan.
Dalam pertemuan itu, AZAM turut memperkenalkan platform AZAM Young Souls (AYS) yang memberikan penekanan terhadap pembangunan kepimpinan, komunikasi, kesukarelawanan dan bakat sebagai medium membentuk generasi muda yang berdaya saing serta mempunyai nilai kepimpinan tinggi.
Sementara itu, Dr. Zainal menyambut baik hasrat berkenaan dan berharap agar hubungan strategik yang terjalin dapat diterjemahkan menerusi pelaksanaan pelbagai program yang memberi manfaat kepada mahasiswa, di samping menyokong agenda pembangunan modal insan Sarawak.
“Kerjasama berkenaan dijangka memberikan fokus kepada pembangunan kepimpinan, komunikasi, pembangunan bakat, inovasi dan penglibatan komuniti.
“Ini merupakan persediaan untuk melahirkan graduan yang lebih kompeten serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” ujarnya.
Selain memperkenalkan PSDC 2026, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam pelaksanaan program pembangunan mahasiswa yang meliputi aspek kepimpinan, komunikasi, pengucapan awam, pemikiran kritis, pembangunan bakat serta penglibatan komuniti.



