ARTIKEL

Azeva cipta laluan sendiri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MEWARISI darah seni daripada dua figura berpengaruh dalam industri hiburan, Azeva atau nama penuhnya Wan Azeva Natassha Wan Aminuddin merupakan anak kepada penyanyi popular Ameng Spring dan penerbit terkenal, Datuk A. Aida. Namun, Azeva tidak mahu sekadar dikenali sebagai anak kepada pasangan selebriti itu apabila kini mula mengorak langkah sendiri dalam dunia muzik menerusi single sulungnya, Tanpa Rasa Jemu.

Lebih istimewa, lagu itu turut mendapat sentuhan ibunya yang menghasilkan lirik, manakala melodi dan muziknya dicipta oleh Zul 2By2, Aiman dan Madi Mulyadi.

Menurut Azeva, Tanpa Rasa Jemu mempunyai tempat tersendiri di hatinya selepas dia jatuh cinta dengan karya berkenaan sebaik sahaja mendengarnya buat kali pertama.

“Daripada semua lagu yang saya dengar, Tanpa Rasa Jemu benar-benar menyentuh hati saya.

“Saya jatuh cinta dengan susunan muzik, lirik dan keseluruhan dinamik lagu ini. Malah, setiap kali mendengarnya, saya berasa tidak puas,” katanya seperti dipetik dalam laporan media tempatan.

Dalam pada itu, bimbingan Zul 2By2, Aiman dan Madi sepanjang proses rakaman turut banyak membantunya memahami selok-belok dunia nyanyian.

“Lagu ini juga sangat istimewa kerana mama turut terlibat dalam proses pembikinannya, manakala Abang Zul, Aiman dan Madi banyak membimbing saya sepanjang proses rakaman.

“Sebagai lagu pertama saya, pengalaman ini sangat bermakna dan saya amat bersyukur kerana mereka membimbing saya dari A hingga Z tanpa pernah berputus asa,” ujarnya.

Mengakui tidak mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional ketika mula merakamkan lagu itu, Azeva bagaimanapun mengambil kesempatan tersebut untuk menimba sebanyak mungkin ilmu.

“Pengalaman mengikuti kelas vokal menjadikan saya lebih yakin untuk membuat persembahan secara langsung.

“Perkara itu sekali gus membuktikan setiap proses pembelajaran membentuk diri saya menjadi penyanyi yang lebih matang,” kongsinya lagi.

Justeru, Azeva berharap lagu sulungnya itu bukan sekadar menjadi pengenalan kepada dirinya, malah mampu terus melekat di hati pendengar.

“Harapan saya semoga semua orang terus mendengar Tanpa Rasa Jemu. Saya mahu lagu ini kekal di hati pendengar dan menjadi karya yang sentiasa mereka ingati.

“Ini hanyalah permulaan perjalanan saya dalam dunia muzik dan saya berharap dapat terus berkongsi lebih banyak karya selepas ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Tanpa Rasa Jemu turut diberi ruang lebih besar apabila dipilih sebagai runut bunyi filem Bisikan Nafsu.

Filem itu mengisahkan seorang lelaki yang terus setia mencintai pasangannya meskipun terpaksa berdepan dengan ujian yang amat berat.

Bisikan Nafsu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 1 Oktober.

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU