ARTIKEL

AZIMAT menghantui pawagam esok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

FILEM seram penuh psikologi hasil karya anak Sarawak, Azimat, bakal menghantui pawagam seluruh Malaysia mulai esok.

Filem terbitan Faradale Media-M Sdn. Bhd. ini mengetengahkan gabungan elemen mistik tempatan dan konflik emosi mendalam, sekali gus menawarkan kelainan berbanding filem seram arus perdana.

Azimat mengangkat kepercayaan masyarakat Sarawak terhadap azimat, yang sering dianggap sebagai pelindung diri daripada gangguan roh jahat, penyakit misteri dan nasib malang.

Dalam budaya setempat, azimat bukan sekadar objek fizikal, malah dipercayai memiliki “semangat penjaga” yang diwarisi turun-temurun.

Walaupun amalan ini semakin jarang dipraktikkan dalam kehidupan moden, sesetengah masyarakat masih melihat azimat sebagai simbol kekuatan dan perlindungan. Kepercayaan inilah yang menjadi teras utama penceritaan filem Azimat.

Kisahnya berpusat kepada Hanna, seorang gadis yang hidupnya dipenuhi trauma dan peristiwa malang yang tidak pernah berpenghujung.

Dalam keadaan terdesak, Hanna mendapatkan bantuan seorang bomoh Iban yang memberikannya seutas rantai azimat sebagai pelindung diri.

Pada awalnya, kehidupan Hanna seolah-olah berubah menjadi lebih baik.

Namun, tanpa disedarinya, rantai azimat tersebut menyembunyikan kegelapan yang perlahan-lahan meresap ke dalam jiwanya dan membawa kehancuran yang lebih besar.

Pengarah filem, Kay Rezza Karim, berkata Azimat membawa pendekatan berbeza apabila menggabungkan ketakutan, trauma dan kepercayaan tradisi dalam satu naratif yang mencengkam.

Beliau turut menyatakan bahawa idea tersebut telah dicetuskan sejak 2019 selepas perbincangan bersama rakan penulis lain.

Kay Rezza memberitahu bahawa Azimat bukan sekadar filem seram, tetapi turut mengupas dimensi psikologi seseorang yang berada dalam situasi putus asa.

Unsur emosi manusia diangkat sebagai nadi cerita untuk memastikan penonton dapat merasai perjalanan watak utama.

Filem ini juga istimewa kerana hampir keseluruhan pembikinannya melibatkan bakat anak jati Sarawak, termasuk barisan pelakon seperti Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud.

Penggunaan bahasa Melayu Sarawak, Iban dan Inggeris dalam dialog turut menjadi tarikan utama.

Selain itu, pemilihan Kuching sebagai lokasi penggambaran bukan sahaja menyokong elemen budaya tempatan, tetapi turut memperlihatkan keindahan visual dan latar sinematik yang mengekalkan nilai estetika Sarawak.

Menurut Kay Rezza, walaupun filem ini bersifat fiksyen, banyak unsur penceritaannya diinspirasikan daripada kisah nyata berkaitan kepercayaan kepada azimat serta kesannya terhadap individu yang mengalami trauma dalam hidup.

Beliau berharap Azimat mendapat sambutan positif ketika tayangannya nanti, khususnya kerana filem ini menawarkan perspektif baharu terhadap genre seram tempatan melalui mesej tentang harapan, pilihan hidup dan akibat yang perlu ditanggung.

Dengan gabungan elemen mistik, budaya, psikologi dan sinematografi yang kuat, Azimat bersedia meninggalkan kesan mendalam kepada penonton apabila mula menghuni layar perak seluruh negara pada esok. 

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan