Azrizan senjata utama S’wak United FC II

PENYERANG utama skuad Sarawak United FC II (SUFC II), Azrizan Ahmad, 29, bersiap sedia untuk menggempur kubu Real Chukai dalam aksi pusingan pertama kempen Piala FA 2020 di Stadium Sarawak malam Ahad ini (23 Februari).

Penyerang berpengalaman dari Langkawi, Kedah itu telah pun meledakkan empat gol ketika membelasah Red Spade FC dalam aksi Kelayakan Piala FA 2020 di Semenanjung baru-baru ini.

“Saya mahu membantu pasukan dan saya mahu menjaringkan banyak gol.

“Kami mahu mara sejauh mungkin dalam pertandingan tersebut walaupun menyedari ia bukan tugas mudah,” kata Azrizan.

Menurutnya, sebagai pasukan baharu, mereka masih lagi dalam proses pembentukan dan keserasian pemain.

“Persiapan pasukan berjalan lancar dan kami sudah bersedia,” jelasnya.

Skiad SUFC II yang dibimbing oleh jurulatih dari Uganda, Sam Timbe dibentuk sebulan yang lalu dan berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Saya percaya keserasian pemain akan terbentuk melalui perlawanan demi perlawanan,” katanya.

Azrizan berharap sokongan padu warga Sarawak akan mengiringi mereka malam ini.

Sepanjang karier, Azrizan pernah menyarung jersi pasukan Perlis pada 2013 dan 2019. Beliau merupakan penyerang utama skuad bola sepak pantai Malaysia.

Malah beliau pernah membantu Malaysia meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai AFF 2019 di Chonburi, Thailand dan ke suku akhir Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC 2019 di Pattaya, Thailand.

Suara Sarawak