KUMPULAN K-pop generasi kelima, BABYMONSTER, terus mencipta fenomena global apabila saluran rasmi YouTube mereka berjaya melepasi 12 juta pengikut baru-baru ini.
Menurut agensi pengurusan mereka, YG Entertainment, pencapaian tersebut direkodkan sekitar 17 Mei lalu, sekali gus menjadikan BABYMONSTER antara kumpulan wanita K-pop terpantas mencapai angka itu sejak debut rasmi mereka pada 1 April 2024.
Kumpulan yang semakin mencuri perhatian peminat antarabangsa itu sebelum ini turut mencatat lebih 10 juta pengikut YouTube pada tahun lalu, sekali gus membuktikan pengaruh mereka yang semakin berkembang dalam industri hiburan global.
Peningkatan ketara itu dipercayai didorong oleh pelancaran album mini ketiga mereka, CHOOM, pada 4 Mei lalu.
Dalam tempoh kurang dua minggu, kumpulan tersebut dilaporkan memperoleh kira-kira 250,000 pengikut baharu di platform tersebut.
Malah, video muzik lagu utama berjudul CHOOM turut mendapat sambutan luar biasa apabila menduduki tangga pertama carta “Trend Terkini YouTube Seluruh Dunia” sejurus dilancarkan.
Video tersebut juga tersenarai antara video paling banyak ditonton dalam tempoh 24 jam pertama dan kini menghampiri 100 juta tontonan.
Dalam pada itu, BABYMONSTER kini sedang mengadakan jelajah dunia kedua mereka yang melibatkan 27 persembahan di 18 bandar utama, termasuk Seoul, beberapa bandar di Jepun seperti Osaka dan Yokohama, selain Kuala Lumpur, Bangkok, Taipei, Singapura serta Hong Kong.
Jelajah itu turut dijadualkan ke Eropah, Amerika Utara dan Amerika Selatan pada masa akan datang, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan tersebut dalam arena muzik antarabangsa.
BABYMONSTER yang berada di bawah naungan YG dikenali menerusi konsep persembahan bertenaga, imej moden, serta gabungan vokal dan rap yang mantap, sekali gus menjadikan mereka antara kumpulan K-pop baharu yang paling mendapat perhatian dalam kalangan peminat generasi muda.



