HOATZIN atau nama saintifiknya Opisthocomus hoazin ialah spesies burung tropika yang banyak ditemui di kawasan paya, hutan tebing sungai dan hutan bakau di sekitar Amazon dan Orinoco di Amerika Selatan.
Burung ini suka bertenggek di atas pokok yang berada pada ketinggian 200 hingga 500 meter dari permukaan laut.
Di samping itu, burung ini cenderung hidup secara berkelompok 10 hingga 50 ekor.
Burung ini juga dikenali sebagai Canje Pheasant atau punk-rock dan Stinkbird kerana bau badannya seperti baja berpunca daripada sistem pencernaannya yang unik.
Saiz badannya sepanjang 24 hingga 26 inci dan kepalanya kecil dengan jambul berwarna merah kemerahan pada bahagian leher.
Bahagian mukanya berwarna biru dengan sepasang mata merah tua dan ekornya perang tua dengan jalur kuning pucat atau putih pada hujungnya.
Bunyi yang dikeluarkan hoatzin juga ganjil seumpama bunyi rintihan, desiran dan dengusan yang sering dikaitkan dengan pergerakan badannya.
Makanannya terdiri daripada daun pokok, buah dan bunga yang tumbuh dalam habitat haiwan ini.
Hoatzin bukan jenis burung yang mahir terbang.
Ekoran badannya berbau busuk, burung ini tidak mempunyai banyak pemangsa yang gemar akan dagingnya.
Hoatzin satu-satunya spesies yang masih wujud dalam genus Opisthocomus keluarga Opisthocomidae dan populasinya semakin berkurangan.