FRANCAIS Predator kembali menggegarkan pawagam tahun ini menerusi filem Predator: Badlands, sebuah karya sains fiksyen aksi arahan Dan Trachtenberg yang menampilkan pendekatan lebih segar terhadap dunia Yautja.
Filem kesembilan dalam siri ikonik itu mula ditayangkan di Amerika Syarikat pada 7 November 2025 selepas membuat tayangan perdana di TCL Chinese Theatre empat hari lebih awal.
Dibintangi Elle Fanning dan Dimitrius SchusterKoloamatangi, filem ini mendapat ulasan positif walaupun pencapaian pecah panggungnya setakat ini berjumlah 88.5 juta dolar berbanding bajet 105 juta dolar. Badlands membawa penonton jauh ke planet Genna, sebuah dunia keras yang penuh ancaman tumbuhan dan haiwan.
Di sinilah kisah Dek, Predator muda yang dibuang dari komunitinya kerana dianggap lemah, bermula.
Dek bertekad membuktikan dirinya layak menjadi pemburu legenda dengan menewaskan Kalisk, makhluk pemangsa paling berbahaya di planet itu. Namun nasibnya berubah apabila bapanya, Njohrr, memerintahkan abang Dek, Kwei, supaya membunuhnya.
Kwei yang enggan menurut arahan menghantar Dek ke Genna melalui kapal automatik, sebelum dia sendiri dihukum mati.
Setibanya di Genna, Dek berdepan persekitaran yang tidak mengenal belas kasihan.
Dalam usahanya bertahan hidup, dia bertemu Thia, sintetik Weyland Yutani yang rosak dan terdampar selepas misinya menangkap Kalisk gagal. Thia bersetuju membantu Dek menjejaki makhluk itu dengan syarat dia dibantu untuk mendapatkan semula bahagian tubuhnya.
Perjalanan mereka turut disertai makhluk tempatan yang kemudian digelar Bud, menambah dimensi baharu dalam hubungan antara Predator, sintetik dengan habitat liar Genna. Konflik memuncak apabila Kalisk muncul.
Dek berjaya memenggal kepala makhluk itu tetapi terkejut apabila Kalisk mampu menjana semula tubuhnya. Pasukan Weyland Yutani tiba dan menahan mereka untuk tujuan kajian. Thia membantu Dek melarikan diri dan bersama Bud, mereka merancang serangan balas bagi menghentikan operasi Weyland Yutani.
Tanpa kelengkapan asal, Dek mencipta senjata organik daripada sumber semula jadi planet itu dan memecah masuk ke pangkalan.
Pertempuran besar berlaku dan mereka menewaskan Tessa sebelum menamatkan konflik. Daripada sudut produksi, Badlands dikembangkan sebagai kisah berdiri sendiri dalam dunia Predator dengan penekanan terhadap budaya Yautja.
Elle Fanning memainkan dua watak serentak iaitu Thia dan Tessa, manakala Dimitrius Schuster-Koloamatangi mempelajari bahasa Predator untuk membawa Dek dengan lebih meyakinkan.
Pendekatan ini menjadikan Badlands antara keluaran paling berani dalam sirinya dan membuka ruang baharu untuk masa depan dunia Yautja.



