ARTIKEL

Bill O’Reilly | AFP

Badut Amerika

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

NAMA Bill O’Reilly pasti asing bagi sebahagian besar rakyat Malaysia. Ya, kecuali mereka yang pernah menonton Fox News.

Fox News ialah saluran berita konservatif Amerika yang terkenal dengan pandangan sayap kanan, kontroversi politik, dan berpengaruh besar.

Dalam sehari dua ini, nama beliau mula dikenali di negara ini selepas beliau mencetuskan kenyataan kontroversi tentang Malaysia susulan kunjungan Presiden China ke Malaysia.

Xi mengunjungi Malaysia pada 15 hingga 17 April sebagai sebahagian lawatan serantau, di tengah-tengah perang perdagangan dengan AS berkenaan tarif. 

Lelaki berusia 76 tahun itu ialah seorang tokoh media yang terkenal di Amerika Syarikat, terutama sekali sebagai penganalisis politik konservatif dan hos rancangan televisyen. 

Beliau dilahirkan di New York City dan dikenali secara meluas menerusi rancangan The O’Reilly Factor yang disiarkan di Fox News dari 1996 hingga 2017.

Rancangan ini menjadi antara program berita kabel paling popular di Amerika, menarik berjuta-juta penonton setiap malam.

O’Reilly dikenali dengan gaya penyampaian yang lantang, tegas, dan seringkali kontroversial.

Pendekatan beliau dalam membincangkan isu-isu politik dan sosial menonjolkan pandangan konservatif, terutamanya dalam isu imigresen, dasar luar, pendidikan, dan moral masyarakat. 

Beliau kerap mengkritik media arus perdana dan ahli politik dari parti Demokrat, sambil menyokong nilai-nilai tradisional Amerika.

Sebelum menyertai Fox News, O’Reilly bertugas sebagai wartawan dan penyampai berita di beberapa rangkaian televisyen termasuk CBS dan ABC.

Beliau juga pernah mengendalikan program Inside Edition, sebuah rancangan berita hiburan. 

Latar belakang pendidikannya termasuk ijazah dalam sejarah dari Marist College, serta ijazah sarjana dalam kewartawanan dari Boston University dan satu lagi dalam pentadbiran awam dari Harvard University.

Namun, kerjayanya tidak terlepas daripada kontroversi.

Pada 2017, beliau meninggalkan Fox News selepas beberapa dakwaan gangguan seksual terhadapnya muncul, yang mengakibatkan tekanan ke atas syarikat dan pengiklan.

Walaupun beliau menafikan sebarang salah laku, syarikat induk Fox membayar berjuta-juta dolar untuk menyelesaikan keskes tersebut secara sulit.

Selepas meninggalkan Fox News, O’Reilly terus aktif dalam bidang media melalui audio siar dan laman web peribadinya apabila beliau masih membincangkan isu-isu semasa dengan gaya yang sama. 

Beliau juga merupakan penulis prolifik dengan beberapa buku laris termasuk siri Killing, seperti Killing Lincoln, Killing Kennedy, dan Killing Jesus, yang menggabungkan sejarah dan naratif untuk menceritakan peristiwa penting dalam sejarah dunia.

Tidak disangkal, Bill O’Reilly ialah tokoh yang mempunyai pengaruh besar dalam landskap media konservatif Amerika.

Sama ada dipuji atau dikecam, beliau tetap menjadi suara yang menonjol dalam perdebatan politik moden di Amerika Syarikat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia mengecam beliau kerana mempersendakan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja.

Kecaman ini menambah kepada kontroversi terdahulu yang melibatkan O’Reilly, termasuk kritikan terhadap liputan media mengenai kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dianggapnya sebagai spekulasi yang tidak bertanggungjawab.

Anwar berkata, kenyataan Bill O’Reilly mencerminkan xenofobia, perkauman dan Islamofobia bekas hos Fox News itu. Xenofobia ialah ketakutan, kebencian, atau prasangka terhadap orang asing atau budaya luar.

Ia sering timbul akibat kurang pemahaman, stereotaip, atau rasa terancam terhadap perbezaan budaya.

Bagi Anwar, dalam bidang sains sosial, pandangan sedemikian dirujuk sebagai cara pemikiran terperangkap — masih membawa beban imperialisme dan kolonialisme.

Minda terperangkap atau tertawan merujuk keadaan seseorang tidak bebas berfikir secara kritis atau terbuka.

Fikiran mereka dikongkong oleh kepercayaan sempit, propaganda, kesendengan atau prasangka menyebabkan individu berkenaan sukar menerima pandangan berbeza atau membuat keputusan secara rasional dan merdeka.

Sesungguhnya, seperti ditegaskan Anwar, ia pandangan melampau yang dipenuhi dengan keangkuhan dan kejahilan, dengan andaian bahawa kumpulan atau negaranya sahaja yang berjaya.

“Jelas beliau langsung tidak memahami Asia, ASEAN atau perkembangan semasa di rantau ini,” katanya seperti dipetik media.

Dalam klip tular di media sosial, O’Reilly mempersoalkan nilai ekonomi hubungan Beijing dengan negara Asia Tenggara.

“Hey, Presiden Xi, biar saya berterus terang.

Negara-negara itu langsung tiada duit.

Mereka tak boleh bantu awak.

Mereka takkan beli barangan awak sebab mereka tak ada duit.

“Kami yang ada duit, kami yang beli barang.

‘Melayu’ itu takkan beli barang awak.

Mereka tak ada duit,” katanya.

Beliau menggunakan istilah Melayu untuk merujuk semua rakyat Malaysia.

Bukankah ini menggambarkan pemikiran beliau yang sempit, lapuk dan dangkal?

Bukankah ini menggambarkan keangkuhan dan kebiadaban beliau yang menganggap dirinya dan AS serba hebat.

Bukankah ini juga memperlihatkan bagaimana beliau tidak tahu akan benua dan negara di luar AS?

Hanya kerana Presiden AS marah dengan tindak balas China berkaitan tarif timbal balas, tidak bermakna penganalisis politik itu harus bersikap melampau terhadap Malaysia dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal dan tidak berasas sama sekali. 

Barangkali ada baiknya beliau lebih banyak membaca buku tentang rantau ini atau melawat negara ASEAN dan Asia bagi mengelak beliau daripada mengeluarkan kenyataan yang karut sehingga boleh memalukan diri sendiri sehingga beliau dilihat tidak lebih sebagai badut.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan penulis prolifik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU