ARTIKEL

Juara, Nurqistina Batrisyia Samsudin. | KREDIT FOTO: RZA

Bahan kitar semula warnai pentas fesyen belia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Barang terbuang dan bahan sisa harian yang kerap dianggap sampah tidak berguna terbukti mampu ditransformasi menjadi karya seni fesyen berimpak tinggi.

Menerusi penganjuran ratu cantik remaja Youth Eco Runway 2026 di Swinburne University of Technology Sarawak pada Isnin, pentas peragaan diserikan dengan kreativiti luar biasa belia tempatan yang mengetengahkan busana berkonsepkan kelestarian alam sekitar.

Acara anjuran Razz Couture di bawah pimpinan Razie Ali berhasrat menyatukan bakat belia, kreativiti fesyen dan kesedaran alam sekitar dalam satu platform yang inklusif.

Naib juara, Qaseh Izz Zayani. | KREDIT FOTO: RZA
Tempat ketiga, Nur Balqis Anisha Mansoor. | KREDIT FOTO: RZA

Menurut Razie, idea penganjuran ini tercetus daripada keprihatinan terhadap tabiat masyarakat yang sering membuang sisa harian tanpa menyedari nilai estetika dan potensi guna semula yang ada padanya.

“Kita lihat sisa harian dibuang begitu sahaja, padahal ia masih bernilai; konsep bahan sisa dipilih untuk membuktikan fesyen boleh cantik tanpa memusnahkan bumi, serta melatih minda belia melihat nilai dalam apa yang dianggap terbuang,” katanya.

“Peragaan yang memukau apabila pelbagai rekaan kreatif diperagakan oleh para peserta; antara yang menarik perhatian ialah busana berkonsepkan Permata Pelangi, sebuah karya yang dihasilkan daripada gabungan kanvas, mop, kertas, payung dan cakera padat (DVD) terpakai,” jelasnya.

Tempat keempat, Vincent Law. | KREDIT FOTO: RZA
Tempat kelima, Muhd Azril Nashraf. | KREDIT FOTO: RZA

“Penggunaan warna-warni pada busana melambangkan harapan masa depan yang cerah, manakala lapisan skirt secara simboliknya menggambarkan langkah berterusan menuju kehidupan yang lestari,” ujarnya kepada Suara Sarawak selepas acara ratu cantik remaja Youth Eco Runway 2026 sempena Karnival SDG Swinburne Sarawak pada Isnin.

Tambah beliau, hiasan berkilau daripada DVD terpakai pula menjadi simbol sinar harapan bahawa bahan terbuang bukanlah sesuatu yang sia-sia, sebaliknya boleh bersinar bak permata apabila disentuh dengan daya kreativiti.

Bagi memastikan elemen kelestarian benar-benar teruji, penganjur menetapkan syarat ketat di mana sekurang-kurangnya 70 peratus daripada keseluruhan busana mesti terdiri daripada bahan kitar semula atau sisa.

Momen menarik sepanjang berlangsungnya pertandingan Youth Eco Runway 2026. | KREDIT FOTO: RZA
Momen menarik sepanjang berlangsungnya pertandingan Youth Eco Runway 2026. | KREDIT FOTO: RZA

Antara bahan yang digalakkan termasuk perca kain, pakaian lama, kertas, kadbod, plastik bersih, benang serta bahan semula jadi terbuang seperti daun kering dan kulit kayu.

“Penganjuran Youth Eco Runway 2026 berperanan sebagai wadah mendidik minda golongan muda; menerusi acara ini, pihak penganjur ingin menanamkan prinsip utama dalam diri setiap peserta bahawa sampah bukan sampah jika dipandang dengan mata kreatif,” katanya.

“Apabila peserta sendiri mengubah bahan terbuang menjadi karya cantik, mereka sedar bahawa nilai sesuatu benda bergantung kepada kreativiti, bukan harganya, sekali gus melahirkan tabiat berfikir sebelum membuang,” tambahnya.

Momen menarik sepanjang berlangsungnya pertandingan Youth Eco Runway 2026. | KREDIT FOTO: RZA
Momen menarik sepanjang berlangsungnya pertandingan Youth Eco Runway 2026. | KREDIT FOTO: RZA

Kelainan utama acara ini turut terserlah menerusi keunikannya yang tidak mengehadkan saiz badan atau rupa paras peserta.

Ia menyepadukan elemen warisan budaya Sarawak dengan reka bentuk hijau, selain memberi fokus utama kepada kreativiti, keaslian idea, serta kemahiran menghasilkan busana sendiri dari awal tanpa membeli pakaian siap.

Sistem pengadilan dilakukan secara teliti menerusi enam kriteria utama iaitu penggunaan bahan kitar semula dan keaslian idea sebanyak 25 peratus, kreativiti reka bentuk 20 peratus, mesej kelestarian dan keyakinan persembahan 20 peratus, kemahiran penghasilan 15 peratus, personaliti peragaan 12 peratus, serta penerangan reka bentuk sebanyak 8 peratus.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan, Nurqistina sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain. | KREDIT FOTO: RZA

Walaupun amalan fesyen hijau di Sarawak masih di peringkat awal, acara ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri fesyen tempatan agar lebih mesra alam pada masa akan datang.

Penganjur juga berhasrat melahirkan generasi pereka muda yang sentiasa memikirkan kesan alam sekitar dalam setiap potongan kain dan rekaan mereka.

Pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM1,100 ini menyaksikan persaingan sengit antara peserta.

Selepas persembahan memukau dan penilaian teliti daripada barisan juri, Nurqistina Batrisyia dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Tempat naib juara disandang oleh Qaseh Izz Zayani yang memenangi RM300, manakala tempat ketiga milik Nur Balqis Anisha dengan hadiah RM200.

Bagi tempat keempat dan kelima, ganjaran saguhati RM50 masing-masing dibawa pulang oleh Vincent Law dan Muhd Azril Nashraf.

Sambutan yang diterima daripada peserta dan ibu bapa amat menggalakkan kerana program ini memberi kemahiran tangan dan nilai tanggungjawab alam sekitar yang bermakna.

Melihat kepada kejayaan ini, Razz Couture merancang untuk menjadikan Youth Eco Runway sebagai acara tahunan tetap dengan pelbagai penambahbaikan pada edisi akan datang seperti penganjuran bengkel reka bentuk lestari, pembukaan kategori dewasa, serta kerjasama bersama agensi alam sekitar dan institusi pendidikan tempatan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu turut hadir sekali gus merasmikan majlis penutupan Karnival SDG Swinburne Sarawak.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU