ARTIKEL

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia pada 20 Februari lalu. Ia menjadi garis panduan agensi media sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini oleh rakyat. - Foto BERNAMA

Bahasa itu senjata, kata adalah peluru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LEGENDA perang dunia, Napoleon Bonarparte yang juga Maharaja Perancis dan Raja Itali sentiasa berpegang kepada kata-kata keramatnya; “Mata pena lebih tajam daripada 1,000 mata pedang.”

Jeneral Revolusi Perancis, yang terkenal sebagai panglima perang hebat dalam sejarah itu, tidak gentar dengan mana-mana musuh, namun beliau cukup gementar dengan wartawan.

Bagi beliau, bahasa yang digunakan wartawan merupakan “senjata” yang sangat berbahaya, manakala kata-kata wartawan adalah “peluru” yang bisa membunuh. Ingat revolusi Mesir 2011?

Revolusi di negara Piramid, yang dikenali sebagai Ummud Dunya, berlaku hanya kerana perkara remeh; status akaun Facebook yang menuntut perubahan.

Akibatnya, dari situ berlaku revolusi dan menggulingkan rejim autoritarian dan diktator Hosni Mubarak.

Hanya satu ayat yang diukir wartawan, tetapi mempengaruhi ribuan orang, malah jutaan.

Begitu juga kes yang menimpa mantan Presiden Amerika, Bill Clinton.

Reputasinya musnah selepas hubungan sulitnya dengan Monica Lewinsky didedahkan oleh wartawan. Lewinsky merupakan pekerja pelatih di pejabat Ketua Staf Rumah Putih pada 1995.

Oleh itu wartawan sentiasa digeruni sejak wujudnya dunia media, yang sebenarnya berfungsi sebagai penyebar informasi, maklumat penting berlandaskan fakta dan data, serta sumber yang dipercayai, yakni sahih, seiring dengan polisi, misi dan visi pemerintah.

Namun kewujudan media sosial, ekoran ledakan teknologi maklumat sejak 10 tahun kebelakangan ini mencetuskan fenomena dan kerisauan, kerana sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan melalui platform alam maya, yang bagaikan satu ‘letupan informasi’ tanpa sempadan, sehingga ada kalanya menghadirkan fitnah.

Justeru, media sosial menjadi wadah bagi meluahkan perasaan dan pemikiran negatif.

Abu Hurairah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si fulan rajin solat sunat malam, puasa pada siang hari, mengerjakan pelbagai kebaikan dan bersedekah.

Pada masa sama, dia suka mengganggu jiran dengan bahasanya?” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka.”

Sekarang ini, “dosa bahasa” banyak digantikan dalam bentuk tulisan kadangkala lebih kesat, buruk, penuh dengan tohmahan, adu domba, umpatan, kejian dan fitnah yang lebih mudah ditularkan dalam media sosial.

Oleh itu, wartawan bertauliah memainkan peranan penting untuk menangkis berita seumpama itu, dan pada yang sama menegakkan dunia media sebenar.

Di sinilah letaknya kepentingan etika kewartawanan.

Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu yang dilancarkan pada 20 Februari lalu, tidak mengekang kebebasan media negara ini, namun tetap ada sempadan yang harus dipatuhi.

Ia wujud sejak 1989 dan dilancarkan semula selepas penambahbaikan.

Kod Etika Wartawan Malaysia mengandungi lapan etika utama iaitu wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga mesti memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran berterusan.

Dengan adanya kod etika ini, prinsip seperti kebebasan bersuara akan dipertahankan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.

Namun perlu ada satu peningkatan kesedaran dan kemahiran dalam kalangan wartawan untuk mengharungi zaman termasuk isu AI (kecerdasan buatan) dan media sosial.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia Ashwad Ismail menjelaskan kod etika kewartawanan perlu sentiasa dikemas kini bagi memperkasa industri media.

“Etika kewartawanan merupakan panduan atau kompas dalam menjalankan tugas sebagai wartawan atau pengamal media. 

Ia sebagai refresher untuk memperingatkan kita semula kenapa kod etika wartawan ini seumpama a living document.

Dokumen yang sentiasa ‘hidup’ dan perlu diperbaharui dari semasa ke semasa,” ujar Ashwad.

Laporan Indeks Kebebasan Media bagi 2023 oleh Reporters Without Borders (RSF) meletakkan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 buah negara.

Keunikan landskap media di Malaysia semestinya tidak tertakluk kepada cara penilaian yang berlandaskan media barat.

Pengamal media di Malaysia sentiasa bertindak mengikut keadaan negara dengan mengambil kira undang-undang sedia ada.

Hal ini membuktikan ada pergerakan yang dinamik dalam penyampaian maklumat oleh wartawan.

Dalam keadaan dunia yang serba moden ini, medium penyampaian maklumat sentiasa berkembang.

Masyarakat terutama golongan pelajar harus didedahkan dengan media arus perdana yang diiktiraf, yang bukan hanya menghasilkan berita benar berdasarkan fakta dan sumber asli, tetapi berwibawa, sahih dan dipercayai.

Ini akan melahirkan masyarakat yang bijak dan rasional dalam membuat penilaian terhadap sesuatu tulisan atau berita.

Mereka tidak akan sembrono untuk mempercayainya, tanpa mengambil kira fakta, data, dan sudah pasti, organisasi yang diwakili penulis.

Mereka tidak mudah terpancing dengan umpan, yakni kata-kata cukup memikat yang memerangkap.

Walaupun kemajuan teknologi membuka ruang yang begitu luas kepada sesiapa sahaja untuk bersuara, sesiapa sahaja untuk menjadi penyebar informasi, realitinya hanya wartawan bertauliah yang menyebarkan berita yang diiktiraf, berpaksikan etika kewartawanan.

Oleh itu, latar belakang penulis cukup penting untuk diketahui pembaca, kerana kita boleh membuat rumusan daripada tulisan mereka yang berilmu dan sebaliknya.

Dunia kewartawanan akan terus mekar, seiring peredaran zaman dan teknologi.

Dunia media akan terus hidup, kerana media itu sendiri merupakan sebahagian daripada kehidupan, dan ia kekal sebagai ‘suara keramat’. 

BERITA LAIN

Sampah plastik cemar lautan

KETIKA manusia membuang sampah plastik di taman atau pantai, jalan raya, aliran air – aktiviti alam membawa cebisan plastik itu melalui longkang ke sungai untuk

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

Lempar batu, sembunyi tangan

APAKAH yang mengecewakan anda sebagai rakyat Malaysia ketika ini? Adakah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang rendah, peningkatan inflasi atau kos sara hidup yang tinggi? Atau

Resolusi 2728

KETIKA Dewan Keselamatan PBB menyetujui resolusi menuntut gencatan senjata segera dikuat kuasa di Gaza, lebih 33,000 rakyat Palestin sudah pun terbunuh dengan hampir 76,000 cedera

Jangan mudah tergoda

TINGGAL beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pusat beli-belah kini menjadi tumpuan. Suasana juga begitu sibuk. Setiap tahun kita dapat lihat

BERITA TERBARU

Rumah musnah terbakar, penghuni selamat

MIRI: Sebuah rumah di Kampung Pa Umor, Bario milik Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, musnah dalam insiden

Enam kereta terbakar akibat pembakaran terbuka

LIMBANG: Enam buah kereta di luar bengkel di Jalan Taman Desa Babahanan di sini musnah dalam satu kebakaran disebabkan pembakaran terbuka longgokan kayu berhampiran. Jurucakap