KUCHING: Komuniti rentan akan terus diperkasakan pada tahun depan melalui inisiatif ekonomi inklusif, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Justeru beliau berkata, sebanyak RM2.6 juta akan diperuntukkan bagi meneruskan pelaksanaan Program Pembangunan Wanita dan Keluarga merangkumi Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak, latihan kemahiran, inisiatif pemerkasaan dan sokongan keluarga.
Pada masa sama katanya, sebanyak RM2.5 juta akan diperuntukkan bagi Program Usahawan Mikro Kebajikan yang menyediakan latihan modal dan akses pasaran kepada 835 usahawan mikro daripada golongan B40 termasuk OKU, ibu tunggal dan balu.
Beliau menambah, RM600,000 turut akan diperuntukkan bagi Program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah untuk menyokong 120 keluarga menjalankan projek perniagaan kecil, dan RM600,000 bagi menyokong Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam melaksanakan intervensi sosial berasaskan komuniti.
“Di seluruh Sarawak ramai wanita, ketua isi rumah, orang kurang upaya, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah mempunyai keazaman untuk memperbaiki kehidupan mereka.
“Kita percaya bahawa dengan sokongan yang tepat, mereka mampu mengubah potensi menjadi kemajuan dalam kehidupan mereka” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata, bagi memastikan akses kepada perumahan mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah (B40) sejumlah RM121 juta akan diperuntukkan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) tahun depan untuk melaksanakan 11 projek perumahan melibatkan 1,547 unit rumah mampu milik di Kuching, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
“Melengkapkan usaha ini, RM20 juta akan diperuntukkan kepada Mutiara Mortgage and Credit Sdn. Bhd. bagi menyokong pembiayaan rumah untuk golongan B40 dan M40 memastikan akses yang lebih luas kepada perumahan mampu milik” katanya sambil menambah sehingga September 2025 sebanyak RM83.5 juta telah disalurkan kepada 1,371 pembeli rumah yang layak.
Manakala, dalam usaha berterusan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar beliau berkata, pelaksanaan Skim Pinjaman Rumah Panjang akan diteruskan menawarkan pinjaman tanpa faedah dalam bentuk bahan binaan dan perkakasan.
Katanya, di bawah skim tersebut RM30,000 adalah bagi setiap pintu untuk kerja baik pulih, dan RM50,000 bagi setiap pintu untuk pembinaan baharu.
“Pentadbiran saya akan menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM50 juta bagi melaksanakan skim ini memastikan rumah panjang yang layak mendapat sokongan untuk perumahan yang selamat” katanya.



