Baki jemaah tabligh rakyat Malaysia di India dibawa pulang – Wisma Putra

PUTRAJAYA: Wisma Putra dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di India, akan terus menyelaraskan usaha membawa pulang secara berperingkat, baki jemaah tabligh yang masih berada di India, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, maklumat mengenai misi pulang jemaah tabligh yang seterusnya, akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Daripada 96 orang rakyat Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, 62 merupakan sebahagian daripada jemaah tabligh yang telah terkandas di India, sejak Mac tahun ini,” katanya lagi.

Jelas Hishammuddin, jemaah tabligh yang pulang hari ini ditahan pihak berkuasa India, atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial, bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

“Bagaimanapun, sebahagian besar telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan itu,” katanya lagi.

Tambah beliau, baki 34 lagi rakyat Malaysia yang pulang pada hari ini, bukan anggota jemaah tabligh.

Kesemua 96 rakyat Malaysia mendarat di KLIA pada 6.31 pagi, menaiki pesawat Malindo Air OD02028 dari New Delhi bersama 11 krew penerbangan. Kesemua mereka dibawa ke Pusat Kuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

Misi kemanusiaan membawa balik warga Malaysia dari New Delhi itu, diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama agensi berkaitan, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia  (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Hishammuddin turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan India, kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada Perwakilan Malaysia di negara itu, dalam membantu rakyat Malaysia yang terkandas.  — Bernama

Suara Sarawak