ARTIKEL

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

BAM lipat ganda usaha persiapan harungi Sukan Olimpik Paris 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Keresahan disuarakan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei susulan keputusan kurang memberangsangkan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 mempunyai asas tersendiri namun ia tidak menggambarkan keseluruhan prestasi pasukan negara ketika ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ini kerana badan induk itu sentiasa melipatgandakan usaha mempersiapkan skuad negara mengharungi saingan Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau berkata adalah mustahil untuknya melakukan perubahan gerak kerja BAM dalam masa terdekat ini memandangkan berbaki kurang beberapa bulan sahaja lagi sebelum temasya berprestij itu membuka tirai pada 26 Julai depan.

“Saya sudah bercakap dengan Chong Wei kelmarin dan seperti biasa ia luahan perasaan beliau terhadap pemain kita. Saya kata kepada Chong Wei (sebenarnya itu) merupakan keresahan semua pihak,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Namun beliau berkata seperti komennya sebelum ini, keputusan BATC bukanlah terlalu mengecewakan apabila meraih naib juara (pasukan lelaki) selain pemain dibelenggu kecederaan (di luar jangkaan).

Mohamad Norza berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan Chong Wei yang juga merupakan ahli jawatankuasa program Road to Gold (RTG) dan pengurus pasukan skuad badminton ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Malah beliau melahirkan harapan agar pemenang tiga pingat perak Olimpik itu mampu berkhidmat sepenuh masa untuk berkongsi kemahiran serta membimbing skuad negara yang bernaung di badan induk itu pada masa hadapan.

“Kami sentiasa berhubung kerana dia sebahagian daripada RTG dan terbabit dalam perbincangan kita untuk mempersiapkan pasukan badminton ke Olimpik. Mungkin, apa yang beliau tidak nampak (masa sekarang) ialah ramai pelapis (dalam pasukan).

“…tapi apapun keputusan, kami berharap mungkin selepas Olimpik (Paris 2024) dia boleh masuk ke dalam BAM. Kami ambil maklum balas yang baik daripada Chong Wei tapi tak boleh cakap dekat luar sahaja,” katanya.

Beliau berkata komitmen ditunjukkan Chong Wei untuk “mengangkat” sukan badminton di negara ini perlu dibanggakan apabila beliau merupakan pakar yang telah menyumbang tenaga selama 19 tahun dengan pelbagai pencapaian di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Saya terima dengan hati terbuka kerana Chong Wei merupakan autoriti yang boleh bercakap tentang perkara ini. Kalau orang yang tiada kena-mengena memang saya resah tapi ini autoriti,” katanya.
Media tempatan semalam melaporkan Chong Wei berputus asa dengan sukan badminton di Malaysia dan memberi amaran bahawa perubahan drastik diperlukan untuk menyelamatkan sukan itu di negara ini.

Pada BATC 2024 menyaksikan hasrat skuad lelaki negara untuk mempertahankan kejuaraan tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada China pada aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

Dua tonggak perseorangan negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terpaksa direhatkan bagi beberapa perlawanan dalam kejohanan berkenaan kerana difahamkan masing-masing mengalami kesukaran bernafas akibat resdung dan kecederaan belakang.
Skuad wanita pula terkandas pada aksi suku akhir kepada penyandang gelaran, Indonesia 0-3.

— BERNAMA

BERITA LAIN

SUKMA XXI: 14,000 pelajar bentuk pasukan sorak

KUCHING: Seramai 14,000 pelajar sekolah dari sembilan bahagian membentuk pasukan sorak bagi memberi sokongan kepada atlet Sarawak yang bertanding di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI

BERITA TERBARU