KUCHING: Penyanyi rock, Bandi Amuk bakal menggegarkan Karnival Gawai REDEEMS Ke-18 yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Julai nanti di Kampung Budaya Bidayuh @ REDEEMS di Bau.
Presiden REDEEMS Datuk Peter Nansian berkata penampilan khas daripada penyanyi kumpulan rock terkenal tanah air itu juga secara tidak langsung menyerikan lagi pertandingan REDEEMS Battle of the Bands (BOTB) 2026, yang penyertaan terbuka kepada kumpulan muzik dari seluruh Sarawak dan Sabah, termasuk Kalimantan Barat, Indonesia.
Justeru, katanya acara sempena Karnival Gawai REDEEMS Ke-18 itu sekali gus akan menghimpunkan pemuzik berbakat, peminat muzik, penggiat budaya serta masyarakat setempat dalam sambutan selama tiga hari itu yang mengetengahkan muzik, budaya dan warisan.
“Kini memasuki edisi keempat penganjurannya, REDEEMS Battle of the Bands terus berperanan sebagai platform untuk mencungkil dan mempromosikan bakat muzik tempatan, di samping menyediakan peluang kepada kumpulan muzik yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan kreativiti, kemahiran persembahan dan minat mereka terhadap muzik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata dengan membawa tema “Rock & Blues”, pertandingan pada tahun ini menjanjikan persembahan menarik daripada kumpulan-kumpulan muzik dari seluruh Borneo yang akan bersaing bagi merebut gelaran juara dengan hadiah wang tunai RM10,000.
Sehubungan itu, Peter berkata pendaftaran kini dibuka, dan kumpulan yang berminat digalakkan untuk mendaftar serta mengikuti platform media sosial rasmi REDEEMS Battle of the Bands bagi mendapatkan maklumat terkini dan pengumuman lanjut.
Beliau berkata jumlah penyertaan yang disasarkan adalah sebanyak 20 kumpulan, dengan pusingan pertandingan akan berlangsung pada 16 Julai manakala peringkat akhir akan diadakan pada 17 Julai.
Menurutnya, Battle of the Bands merupakan sebahagian daripada sambutan Karnival Gawai REDEEMS Ke-18, acara tahunan komuniti yang meraikan kekayaan warisan budaya, tradisi serta perpaduan masyarakat Sarawak.
“Karnival ini akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, permainan tradisional, gerai makanan dan minuman (halal dan tidak halal), aktiviti komuniti, pameran serta hiburan secara langsung sepanjang hari,” katanya sambil menjangkakan karnival kali ini akan menarik kehadiran seramai 5000 pengunjung, dengan kemasukan adalah percuma.
Beliau menambah, karnival itu turut disokong Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Pejabat Premier Sarawak, sekali gus membolehkan kedua-dua acara itu terus menjadi platform penting bagi pembangunan bakat, pemeliharaan budaya dan penglibatan masyarakat.
Peter berkata karnival itu turut akan dihadiri oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 18 Julai.


