Banglo terbakar di Miri

MIRI: Sebuah banglo dua tingkat jenis kekal hampir musnah terbakar dalam satu kebakaran yang berlaku di Taman Wawasan, Jalan Airport, awal pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sebelas anggota dari Balai Bomba dan penyelamat Miri dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 2.26 pagi.

Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kebakaran banglo berkenaan telah memusnahkan 50 peratus melibatkan dua bilik tidur dan ruang tamu di tingkat atas banglo terbabit.

Anggota bomba melakukan pemadaman secara ‘offensive’ dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.17 pagi.
Insiden kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Kebakaran membabitkan kemusnahan 50 peratus tingkat atas sebuah banglo dua tingkat di Taman Wawasan, Jalan Airport di Miri.

Suara Sarawak