KUCHING: Bangunan Arkib Negeri, Pustaka Negeri Sarawak, yang baharu akan dilengkapi teknologi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) apabila siap kelak.
Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Teknikal) Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir Meehan Jorai, menyatakan pembinaan projek itu kini sudah mencapai status 50.68 peratus siap.

“Apabila siap, Bangunan Arkib Negeri ini kelak dilengkapi dengan teknologi ASRS, yang berfungsi untuk mengumpul dan menyimpan koleksi dengan selamat dan teratur.
“Teknologi ini memastikan pengendalian, penyimpanan serta penyusunan bahan dilakukan secara sistematik, mengurangkan risiko kehilangan dan kerosakan fizikal,” menurutnya dalam satu kenyataan JKR Sarawak, hari ini.
Selain itu, jelasnya, bangunan juga akan menyediakan bilik khas bagi penyimpanan bahan-bahan yang memerlukan persekitaran terkawal.
Dalam pada itu, katanya, pusat latihan dan pendidikan turut dirancang bagi menyokong aktiviti penyelidikan, termasuk ruang kuliah, makmal eksperimen, auditorium serta ruang penyelidikan yang lengkap.
Meehan terdahulu mengadakan lawatan ke tapak Projek Bangunan Arkib Negeri dan Projek Pejabat Pentadbiran Premier Sarawak bagi memantau perkembangan semasa projek tersebut.
Dalam mesyuarat bersama pihak kontraktor dan konsultan, beliau menyeru agar semua pihak memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan mengikut jadual.
Meehan turut menyatakan rasa puas hati terhadap perkembangan terkini projek, yang dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.
Selain itu, perbincangan meliputi hala tuju projek, cabaran yang dihadapi serta isu-isu semasa, selain impak selepas pelaksanaan projek.
Dalam lawatan berasingan ke tapak projek Pejabat Pentadbiran Premier Sarawak yang baharu di Petra Jaya, kata Meehan, ia juga dijangka siap tahun hadapan.



