SIBURAN: Bangunan terbiar di Siburan dicadangkan supaya dimanfaatkan semula melalui kerjasama komuniti bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil berkata, kemudahan tersebut mempunyai potensi untuk dijadikan ruang aktiviti komuniti sekali gus mengelakkan ia terus terbiar.
“Saya mencadangkan agar bangunan terbiar seperti pusat penjaja Siburan dan dewan serbaguna di Taman Duranda Emas dimanfaatkan melalui kerjasama komuniti bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Kem Latihan Bola Keranjang Junior 2026 di Gelanggang Bola Keranjang Siburan, hari ini.
Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong berkata, selain menggalakkan penggunaan semula bangunan sedia ada, kemudahan sukan di kawasan itu juga perlu terus dipertingkatkan termasuk menggantikan lampu gelanggang bola keranjang yang rosak bagi memastikan ia kekal selesa dan selamat digunakan.
Beliau turut memaklumkan sumbangan dana bagi menaik taraf dewan SJK Chung Hua Siburan serta pembinaan stadium mini sekolah berkenaan telah disalurkan dan projek tersebut kini siap sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha Kelab Bola Keranjang Siburan bersama SJK Chung Hua Siburan menganjurkan Junior Basketball Training Camp 2026 yang berjaya menghimpunkan 46 peserta berusia 10 hingga 13 tahun.
Katanya, program seperti itu bukan sahaja mencungkil bakat muda dalam sukan bola keranjang, malah memupuk disiplin, semangat berpasukan dan persaingan sihat dalam kalangan peserta.






