Banjir: 40 terbunuh di Asia Selatan

KATHMANDU: Banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan monsun menyebabkan sekurang-kurangnya 40 terbunuh di seluruh Asia Selatan dalam tempoh dua hari terakhir, kata pegawai pada Sabtu.

Hujan monsun yang bermula akhir Jun hingga September menyebabkan angka kematian dan kemusnahan meluas di seluruh Asia Selatan pada setiap tahun.

Jurucakap polis Nepal, Bishwaraj Pokharel berkata, 11 lagi tercedera, manakala 15 dilaporkan masih hilang.

Tiga daripada mangsa terbabit terbunuh ketika runtuhan bangunan di pusat bandar Katmandu.

“Keutamaan kami ialah menyelamatkan nyawa dan menggunakan semua sumber yang ada dan sudah pun dikerahkan,” kata pegawai Kementerian Dalam Negeri Umakanta Adhikari kepada AFP.

Polis turut mengunakan bot membawa orang ramai menyeberangi sungai yang banjir untuk penempatan lebih selamat.

Manakala ibu bapa turut dilihat meredah banjir paras dada sambil mengangkut anak-anak mereka di atas bahu.

Pihak Jabatan Cuaca Nepal turut memberikan amaran banjir kepada orang ramai di selatan Sungai Sapta Koshi pada Sabtu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Tahun lepas, lebih 1,200 orang terkorban di seluruh Asia Selatan dalam hujan monsun melanda di Kerala India yang menderita akibat banjir terburuk hampir 100 tahun. – AFP

Suara Sarawak