ARTIKEL

Banjir Monsun Timur Laut dipengaruhi faktor daratan, bukan hujan semata-mata

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kejadian banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bukan bergantung pada jumlah hujan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi faktor daratan seperti perubahan guna tanah, kepadatan penduduk dan keberkesanan sistem saliran setempat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Ambun Dindang berkata pembangunan pesat dan perubahan pada muka bumi boleh menyebabkan kesan yang berbeza berbanding masa lalu walaupun jumlah hujan yang diterima adalah sama.

“Walaupun hujan yang sama turun seperti dahulu, kawasan itu mungkin banjir atau tidak … bergantung kepada apa yang berlaku di muka bumi, termasuk pembangunan, kepadatan penduduk dan perubahan saliran,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Fahami Monsun, Negara Berwaspada, malam ini.

Beliau berkata perubahan iklim dan pemanasan global turut memberikan tekanan kepada sistem cuaca sedia ada, menyebabkan kejadian cuaca ekstrem berlaku dengan lebih kerap dan intensif berbanding sebelum ini.

“Cuaca ekstrem akan menjadi lebih kerap dan lebih intensif kerana setiap satu darjah pemanasan global membolehkan atmosfera menyimpan tujuh peratus lebih banyak kelembapan yang membawa kepada hujan lebih lebat,” katanya merujuk kepada Laporan Penilaian Keenam (AR6) Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

Ambun berkata pemanasan suhu permukaan laut juga mendorong fenomena pemutihan terumbu karang, manakala pencairan ais di kutub dan glasier menyebabkan paras laut meningkat, sekali gus memberikan implikasi tambahan kepada negara pesisir seperti Malaysia.

“Kita lihat dari segi kekuatan dan peningkatan kekerapan taufan yang melanda Filipina dan Vietnam baru-baru ini. Itu juga kesan daripada pemanasan global dan perubahan iklim.

“Dalam satu minggu ada dua taufan, dan sekarang ini pun sedang terbentuk di luar perairan Filipina dan bergerak menuju Vietnam,” katanya.

Beliau berkata MetMalaysia akan terus memperkukuh tiga komponen sistem amaran awal, iaitu pengumpulan data, pemprosesan data dan penyebaran maklumat bagi memastikan kesiapsiagaan negara dapat dipertingkatkan serta tindakan awal dapat diambil sebelum hujan lebat melanda.
Ambun berkata amaran awal yang dihasilkan model cuaca paling dipercayai adalah dalam tempoh sekitar tiga hari, namun maklumat sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa apabila perubahan atmosfera berlaku.

“Tiga hari sebelum kejadian ialah amaran yang paling boleh dipercayai, tetapi model boleh berubah dari hari ke hari. Seboleh-bolehnya, kami keluarkan maklumat awal supaya agensi lain mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat supaya sentiasa peka dengan amaran cuaca semasa, terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir, serta mengutamakan keselamatan dengan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Saya berharap masyarakat di kawasan berisiko banjir sentiasa peka dengan amaran cuaca, patuh arahan pihak berkuasa dan tidak menyebarkan maklumat palsu kerana tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa,” katanya sambil menggalakkan orang ramai merujuk laman web rasmi MetMalaysia, media sosial serta aplikasi MyCuaca untuk maklumat sahih dan terkini.

Pada Oktober, MetMalaysia menjangkakan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan berlaku sepanjang MTL 2025/2026, bermula awal November hingga Mac 2026.– BERNAMA

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha