ARTIKEL

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin | Kredit: Wisma Putra | Bernama

Banjir Nepal: Operasi SAR masuk hari ketiga, angka korban melebihi 500 orang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir di Nepal memasuki hari ketiga pada Jumaat dengan angka korban melepasi 500 orang, manakala proses semakan silang serta pengesahan lanjut terus dijalankan ke atas warga Malaysia yang dilaporkan gagal dihubungi.

Setakat 2.22 petang Jumaat, dua daripada 57 warga Malaysia yang sebelum ini dilaporkan gagal dihubungi susulan bencana itu telah berjaya dikesan, manakala 55 yang lain masih belum dapat dihubungi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin memberitahu Bernama bahawa angka berkenaan tertakluk kepada pengesahan lanjut berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan.

Perkembangan terkini itu menyusul selepas pihak berkuasa pelancongan Nepal mengeluarkan senarai 537 warga asing dari lebih 30 negara yang dilaporkan terputus hubungan susulan banjir di Daerah Rasuwa pada petang Khamis, termasuk 51 rakyat Malaysia.

Senarai yang dikeluarkan oleh Jabatan Pelancongan di bawah Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Penerbangan Awam Nepal itu mengandungi maklumat individu yang dilaporkan hilang, termasuk nama, kewarganegaraan, umur dan agensi pelancongan yang mengendalikan perjalanan mereka.

Sementara itu, angka korban akibat banjir Sungai Bhote Koshi dan Trishuli pada Rabu yang berpunca daripada runtuhan glasier di Himalaya telah meningkat kepada kira-kira 550 orang, manakala ratusan lagi masih dilaporkan hilang.

Pihak berkuasa pelancongan Nepal memaklumkan bahawa seramai 121 warga asing telah diselamatkan dari kawasan yang terjejas teruk akibat banjir, namun setakat ini tiada warga Malaysia yang dikenal pasti dalam kalangan mangsa yang diselamatkan.

Malaysia juga sedang menyelaraskan penghantaran bantuan ke Nepal, termasuk kemungkinan mengerahkan Pasukan  Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung rapat dengan Kerajaan Nepal bagi menentukan bentuk bantuan yang bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan berkenaan boleh merangkumi bantuan kewangan atau pengerahan anggota penyelamat, manakala Kementerian Luar meneruskan usaha untuk mengenal pasti status warga Malaysia di kawasan terjejas.

The Kathmandu Post melaporkan bahawa banjir kilat yang dahsyat melanda kawasan sempadan utara Nepal pada pagi Rabu, memusnahkan kawasan penempatan di sepanjang Sungai Bhotekoshi di Rasuwa serta membawa limpahan air dan serpihan ke bahagian hilir.

Banjir berkenaan merosakkan jalan raya, jambatan, bangunan dan infrastruktur lain sebelum mengalir ke dalam sistem Sungai Trishuli, sekali gus hanyutkan penduduk, kenderaan dan struktur bangunan selain memutuskan hubungan di sesetengah kawasan terjejas.

Akhbar itu turut melaporkan bahawa mayat dan sisa rangka manusia ditemukan di daerah yang terletak jauh di bahagian hilir Rasuwa, manakala pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk mengenal pasti identiti mangsa serta menyediakan kemudahan penyimpanan mayat yang mencukupi berikutan kapasiti rumah mayat di beberapa kawasan semakin kritikal.

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha