KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd melancarkan M-Zahra Takaful MyLadies dan Kalkulator Faraid Digital pada Karnival Celik Kewangan Terengganu 2026.
M-Zahra Takaful MyLadies dibangunkan khusus untuk wanita dengan menawarkan perlindungan kewangan, manfaat perubatan, simpanan dan perancangan legasi mengikut keperluan setiap fasa kehidupan.
Menurut Bernama, Kalkulator Faraid Digital pula membantu masyarakat Islam membuat pengiraan awal pembahagian harta pusaka secara mudah, cepat dan tepat mengikut prinsip faraid serta hukum syariah.
Bank Muamalat berkata kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmennya memperkukuh literasi kewangan Islam melalui penyelesaian digital yang lebih praktikal, mudah diakses dan patuh syariah.
Pelancaran itu juga bertujuan memperluas akses kepada solusi kewangan Islam yang lebih inklusif bagi memenuhi keperluan masyarakat dalam aspek perlindungan kewangan, kesejahteraan keluarga dan perancangan legasi.



