Bantahan MPKK makin memuncak

SARIKEI: Bantahan terhadap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) semakin memuncak apabila 36 lagi pemimpin masyarakat tempatan sebulat suara menolak dan tidak bersetuju dengan cadangan perlaksanaan majlis berkenaan.

Persetujuan bantahan itu dibuat dalam mesyuarat Pertubuhan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Iban (PKMKK) Sarikei, di sini, petang semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha PKMKK Sarikei, Tuai Rumah Keli Angai berkata, mereka tidak memerlukan MPKK kerana peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sedia ada sudah memadai.

Malah katanya, JKKK masih berfungsi dengan baik dalam membantu menguruskan kampung atau rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Kami sebulat suara menolak dan membantah sepenuhnya MPKK dan tidak mahu majlis itu dilaksanakan di kawasan kami. Susulan itu, kami akan melakukan pemantauan ( memberi penerangan) kepada semua penduduk di kawasan kami tentang perkara ini,” katanya kepada media.

Beliau berkata, MPKK yang diperkenalkan oleh Pakatan Harapan (PH) tidak relevan dan hanya akan memecah belahkan penduduk termasuk di rumah panjang.

Menurutnyua, pelantikan Tuai Rumah, Ketua Kampung atau Kapitan dibuat melalui Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan Sarawak.

“Kami tidak mahu timbulnya percanggahan yang boleh mengakibatkan perpecahan dalam kalangan penduduk.

Peranan Ketua kaum yang juga pengerusi JKKK sudah mencukupi untuk memastikan kelancaran pengurusan kampung.

“Sudah pasti, kami akan melakukan tindakan susulan bagi memastikan suara bantahan ini didengar oleh masyarakat di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Suara Sarawak