Banteras 589,924 kali penggunaan dadah

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 712 kes melibatkan 780 tangkapan berkaitan penguatkuasaan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance bagi tempoh bulan Januari lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia hasil 984 operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Sarawak.

Menurutnya, impak penguatkuasaan itu, Sarawak mampu menyekat 207,433 kali penggunaan dadah dan substance terlarang dan menyelamatkan 51,786 individu bagi tempoh sebulan di negeri ini.

“Sementara itu, sepanjang tahun 2020, hasil daripada 6,892 operasi penguatkuasaan, Sarawak mampu menyekat 589,924 kali penggunaan dadah dan substance terlarang dan menyelamatkan 147,480 individu bagi tempoh setahun di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Laporan bulanan Komuniti Pusat Sehenti (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Negeri untuk bulan Januari di Bangunan Baitulmakmur II di sini, pada Rabu.

Fatimah menambah, kejayaan operasi penguatkuasaan oleh agensi berkaitan penting membabitkan rampasan itu, bekalan dadah dan substance akan berkurangan sama ada dalam kalangan pengedar mahupun pengguna.

Mengulas mengenai 712 kes yang melibatkan 780 tangkapan penyalahgunaan dadah dan substance, beliau memberitahu, sebanyak 43 kes yang melibatkan 62 tangkapan merupakan kesalahan membekal dan mengedar dadah dan substance.

“Daripada jumlah tersebut, terdapat 15 kes melibatkan 18 tangkapan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak lebih 15 kali,” jelasnya.

Fatimah juga mendedahkan, sebanyak 160 kes yang melibatkan 209 tangkapan pula kerana kesalahan memiliki dadah dan substance. “Jumlah tangkapan kes memiliki yang direkodkan sejak tahun 2020 sebanyak 2,425 tangkapan,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menggesa Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk bekerjasama dalm melindungi penduduk kampung terutama belia daripada menjadi mangsa pengedar dan penyalahgunaan dadah.

Hadir sama Setiausaha Tetap KWKPK Dr Rashidah Bolhassan, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah, Ketua JSJN ACP Jasmirol Jamaluddin dan wakil yang lain.