ARTIKEL

Banteras vandalisme infrastruktur utiliti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TAHUN lalu Kerajaan Sarawak mengalami kerugian RM11.34 juta akibat vandalisme infrastruktur utiliti di seluruh negeri.

Pada 2023 ia menyebabkan kerugian sekitar RM20 juta. Kempen antivandalisme sudah pun dilaksanakan sejak pertengahan 2024 dan ia diteruskan hingga kini di pelbagai peringkat, termasuk setiap bahagian di seluruh negeri. Ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kesan buruk vandalisme terhadap kemudahan utiliti dan telekomunikasi.

Misalnya kerosakan kabel elektrik akibat kecurian tembaga, boleh menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang serius. Ia bukan sahaja menjadi punca kegelapan, tetapi turut menjejaskan tekanan air dan perkhidmatan telekomuniasi di kawasan luar bandar.

Anehnya masyarakat kita sering menuding jari kepada pihak kerajaan apabila berlaku perkara ini, sedangkan ia berpunca daripada tindakan segelintir masyarakat itu sendiri.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, kes vandalisme melibatkan infrastruktur utiliti seperti kabel elektrik, gentian optik dan menara telekomunikasi terus menjadi cabaran besar di Sarawak, kerana menjejaskan penyampaian bekalan elektrik, telekomunikasi serta air kepada rakyat.

Ia bukan sahaja berlaku di kawasan luar bandar, malah turut dikesan di kawasan bandar, dengan kebanyakannya membabitkan kecurian kabel tembaga serta kerosakan terhadap aset utiliti.

Di Sarikei misalnya, sebuah tapak infrastruktur terpaksa dipasang tembok keselamatan setinggi tiga meter lengkap dengan kawat berduri bagi mengelak pencerobohan. Manakala Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) selaku pemilik menara pintar telah membina tembok keselamatan di lima lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Namun ia menelan kos lebih RM100,000 bagi setiap lokasi, sekali gus menjadikannya tidak praktikal untuk dilaksanakan di semua tapak. Kos sebuah menara telekomunikasi sahaja mencecah sekitar RM2.5 juta.

Sebanyak 1,450 kes vandalisme dan 36 kes kecurian menara telekomunikasi direkodkan di Sarawak sejak 2024, melibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM12.7 juta. Sarawak merekodkan tiga kes kecurian dan 1,116 kes vandalisme dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM9.3 juta.

Sementara itu, sehingga suku kedua tahun lalu, sebanyak 33 kes kecurian dan 334 kes vandalisme telah dilaporkan, membabitkan kerugian sekitar RM3.48 juta. Di kawasan Parlimen Mas Gading, sebanyak empat kes kecurian dan 10 kes vandalisme dicatatkan dengan jumlah kerugian RM74,341.14.

Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa, pemberi perkhidmatan dan komuniti setempat bagi mengurangkan risiko kecurian serta vandalisme di tapak menara komunikasi.

Bagi meningkatkan keselamatan menara di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerajaan mengambil langkah memperkukuh tapak menara komunikasi yang berisiko dengan pemasangan kelengkapan antikecurian dan antivandalisme. Ia termasuk pemasangan saluran besi bagi melindungi kabel tembaga daripada dicuri atau dipotong.

Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera turut dipasang di kawasan berisiko tinggi serta peranti pengesan yang memberi amaran segera kepada penyedia perkhidmatan jika berlaku pencerobohan atau kerosakan.

Selain itu, MCMC bersama pemain industri telekomunikasi turut melaksanakan operasi bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan melakukan pemeriksaan terhadap premis pengumpulan barang lusuh yang berpotensi menjadi tempat pelupusan barangan curi seperti kabel tembaga, bateri dan komponen elektronik.

Kerajaan melalui inisiatif JENDELA Fasa 2 turut memastikan setiap menara baharu dan projek naik taraf dilengkapi ciri keselamatan menyeluruh sejak awal pembinaan, bagi melindungi aset telekomunikasi dan menjamin kesinambungan perkhidmatan digital kepada rakyat.

Pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan, termasuk penubuhan Jawatankuasa AntiVandalisme bagi menyelaras strategi pencegahan lebih berkesan.

Ia turut melibatkan kerjasama rentas jabatan dan agensi, serta pelibatan komuniti setempat.

Malah tindakan undang-undang serta pelaksanaan operasi bersepadu “Ops Lusuh” oleh agensi penguatkuasaan di seluruh negeri turut dipergiatkan.

Yang pasti, pelibatan masyarakat sangat penting dalam membantu kerajaan melindungi infrastruktur utiliti.

Oleh itu, orang ramai digesa segera melaporkan sebarang kegiatan vandalisme terhadap kemudahan utiliti kepada pihak berkuasa atau penyedia perkhidmatan.

Jika ada nampak benda pelik laporkan kepada pihak polis, atau kongsikan lokasi melalui telefon bimbit, bagi memudahkan pihak polis ke lokasi kejadian Laporan boleh dibuat menerusi talian telefon, laman sesawang dan aplikasi rasmi pihak berkaitan.

Program komuniti lebih tersusun perlu dibentuk bagi membanteras kegiatan vandalisme.

Penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Kesedaran masyarakat juga penting kerana kita tahu sukar untuk menghapuskan vandalisme sepenuhnya, namun sekurangkurangnya kita boleh meminimumkan kejadian yang sangat merugikan.

Kemajuan pembangunan negeri tidak bererti jika rakyat tidak mempunyai kesedaran tinggi dalam menjaga harta benda.

Budaya vandalisme langsung tidak menggambarkan kemajuan yang kita kecapi.

Lebih parah, ia menjadi ikutan generasi akan datang, gara-gara contoh tidak baik yang ditunjukkan masyarakat hari ini.

Hakikatnya perbuatan vandalisme mesti dielak demi kesejahteraan semua kerana aktiviti ini membuktikan seseorang itu dipengaruhi sifat yang tidak baik.

Ia juga menggambarkan tidak mensyukuri apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT, sedangkan segala nikmat itu harus dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Adalah tanggungjawab kita untuk sentiasa member peringatan kepada semua golongan masyarakat akan kepentingan menjaga harta benda awam.

Jika ia dijaga dengan baik, semua orang termasuk pelancong akan selesa.

Secara tidak langsung, imej negeri dapat dipelihara daripada perspektif yang berisiko menjejaskan reputasi.

Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masingmasing dalam memastikan gejala vandalisme dapat dikawal sebaiknya. Kepada ibu bapa dan penjaga, perlu sentiasa memberi peringatan kepada anak-anak serta ahli keluarga berkaitan perkara ini.

Jangan hanya kerana sikap sesetengah masyarakat, ia memberi kesan buruk kepada orang lain.

BERITA LAIN

ART pelaburan jangka panjang

BAGI penduduk bandar raya Kuching dan kawasan sekitarnya, perjalanan ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, menghadiri urusan pejabat atau pulang ke rumah yang memakan masa

Chong, Violet digantung dalam sidang DUN Sarawak

DALAM politik, kata-kata adalah senjata. Tetapi dalam Dewan Undangan Negeri, kata-kata juga boleh menjadi perangkap kepada mereka yang mengucapkannya. Tuduhan tanpa bukti boleh menjadi ungkapan

BERITA TERBARU

Integriti Perlu Jadi Pegangan Utama Penjawat Awam

MUKAH: Integriti perlu menjadi pegangan utama setiap penjawat awam bagi memelihara kepercayaan rakyat dengan perkhidmatan awam serta memastikan tugas dilaksanakan dengan amanah, telus dan bertanggungjawab.