ARTIKEL

Gambar Hiasan Foto: Bernama

Bantu kanak-kanak miskin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI Kanak-kanak Sedunia pertama kali diadakan pada tahun 1954 dan disambut pada 20 November setiap tahun untuk menggalakkan kebersamaan antarabangsa, kesedaran dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia, dan meningkatkan kebajikan kanakkanak.

Ia bertujuan menawarkan setiap daripada kita inspirasi untuk menyokong, mempromosikan dan meraikan hak kanak-kanak, menterjemah ke dalam dialog dan tindakan yang akan membina dunia yang lebih baik untuk golongan muda ini. 

Namun sedarkah kita dalam sambutan itu, isu kemiskinan kanak-kanak amat jarang diwacanakan sedangkan ia merupakan isu kritikal yang menjadi penentu masa hadapan mereka dan negara, keadaan itu semakin teruk dengan penularan wabak COVID-19. 

Walaupun sebenarnya masalah ini bukan mula berlaku sejak bermulanya pandemik, ia memang sudah berlarutan sejak sekian lama, cuma kurang diberi perhatian. 

Dalam sebuah laporan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), dilaporkan sebanyak 1.77 juta kanak-kanak di dunia hidup dalam kemiskinan relatif.

 Angka tersebut boleh menjadi lebih tinggi kerana ramai kanakkanak hidup dalam keluarga yang terdedah kepada kejutan ekonomi akibat pandemik.

Di Malaysia pula, lebih 157,000 daripada 9.3 juta kanak-kanak hidup dalam kemiskinan.

Kanak-kanak yang berada dalam kemiskinan ini sudah tentu menghadapi cabaran dalam pelbagai aspek kehidupan seperti kesihatan yang baik, pelajaran yang berkualiti, keadaan perumahan yang selamat dan jaminan makanan yang bernutrisi pada setiap hari.

Walaupun memperoleh markah 7.73/10 dalam Indeks Realisasi Hak Kanak-Kanak, ramai kanak-kanak Malaysia telah dinafikan hak asasi dan keperluan yang paling asas. 

Bagaimanakah keadaan kanak-kanak yang hidup dalam kemiskinan?

Ini adalah enam fakta mengenai kanak-kanak yang hidup di dalam kemiskinan yang anda perlu tahu: Pertama, sebanyak 85 peratus keciciran sekolah datang daripada keluarga miskin yang tinggal di negeri kurang maju.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaporkan kadar keciciran sekolah rendah adalah pada 0.15 peratus dan 1.21 peratus untuk sekolah menengah pada tahun 2019.

Yang mengejutkan adalah 29,000 pelajar adalah dari Sabah.

Ini boleh dikaitkan dengan kekurangan infrastruktur sekolah dan sumber dengan beberapa sekolah menghadapi masalah kekurangan air bersih dan elektrik beserta kekurangan akses untuk ke sekolah. 

Kedua, UNICEF melaporkan bahawa tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur adalah lemah (20 peratus), terbantut (22 peratus), dan kurang berat badan (15 peratus) jika dibandingkan dengan purata kebangsaan. 

Kos kehidupan urban yang semakin meningkat telah memaksa keluarga berpendapatan rendah untuk mengurangkan perbelanjaan makanan yang menyebabkan keluarga mereka tidak mendapat makanan dan nutrien yang mencukupi.

 Ketiga adalah isu perkahwinan bawah umur di negara kita semakin meningkat.

Ya, walaupun dunia semakin maju, masalah ini tetap terus berlaku dan membimbangkan kerana kanakkanak menjadi dewasa sebelum tiba masanya. 

Sabah merekodkan kes perkahwinan Muslim bawah umur yang paling tinggi, iaitu sebanyak 334 pada tahun 2018, diikuti dengan Pahang (177) dan Johor (167).

Pahang juga mempunyai bilangan kes perkahwinan bawah umur bukan Muslim pada tahun yang sama, iaitu sebanyak 102 perkahwinan — diikuti dengan Sarawak (55) dan Perak (35). Keempat pula kanak-kanak ini mengalami isu kesihatan mental.

Dilaporkan 9.2 peratus mereka merupakan daripada keluarga B40 dengan kemiskinan menjadi penyumbang utama yang diakibatkan oleh persekitaran dan gaya hidup bandar — yang dipenuhi materialisme, memaksa untuk membandingkan diri mereka dengan rakan-rakan sebaya yang lebih baik.

Seterusnya, merupakan kanakkanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

Sehingga tahun 2018, kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan kekal tanpa dokumen (contohnya, kad pengenalan) ditolak dengan penuh diskriminasi daripada memasuki sekolah kerajaan.

Ini adalah permintaan yang tidak munasabah kerana mereka memang tidak memiliki dokumen tersebut dan sukar untuk mendapatkannya.

Dan terakhir merupakan kekangan Internet untuk mengikuti pembelajaran.

Laporan UNICEF pada tahun 2020 mendapati bahawa lapan daripada 10 murid daripada keluarga miskin tidak mempunyai akses kepada komputer, menyebabkan mereka ketinggalan ketika pembelajaran berlaku secara atas talian.

Tambahan pula, sembilan daripada 10 murid terpaksa menggunakan telefon bimbit sebagai medium untuk menghadiri kelas dalam talian.

Sesetengah daripada mereka tidak mempunyai rangkaian Internet yang stabil kerana setiap ahli keluarga mereka perlu menggunakan internet pada masa yang sama.

Justeru, bagi menangani masalah ini, pihak kerajaan perlu mengambil langkah proaktif dan drastik supaya ia tidak berlarutan kerana mereka ini merupakan generasi yang akan memimpin negara kita pada masa hadapan.

Sudah tiba masanya, kerajaan berganding bahu bersama pihak berkepentingan merangka satu pelan strategik jangka panjang menangani isu ini demi memastikan negara tidak kehilangan upaya daya maju dan modal insan berkualiti sekiranya ia tidak bijak ditangani. 

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU