ARTIKEL

Bantu kerajaan perangi Covid-19

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pengarah Jabatan Mufti Negeri Mual Suaud mengajak rakyat Sarawak membantu kerajaan memerangi penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda hari ini. Untuk itu, rakyat jelasnya perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang dilanjutkan hingga 14 April ini.

“Mudah-mudahan tempoh PKP ini akan berakhir pada tarikh tersebut. “Diharapkan suasana di Sarawak kembali tenang.

Kita perlu berada di dalam rumah kecuali jika ada perkara penting untuk keluar. “Jika tiada sebab tertentu, lebih baik kita duduk di rumah sahaja,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Ibrah Daripada Musibah secara langsung di laman Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) baru-baru ini.

Tambahnya, kerajaan telah mengambil langkah tepat berlandaskan hukum syarak iaitu menjaga masalah masyarakat. “Ia sesuai dengan keadaan ketika ini, ekoran keadaan yang sempit dan sulit yang membolehkan perkara yang dilarang dilaksanakan oleh kita.

“Antaranya adalah keuzuran yang disebabkan wabak penyakit, lebih-lebih lagi ketika berhadapan dengan Covid-19 kini,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun ia merupakan kali ketiga tanpa solat Jumaat, tetapi biarlah ketika ini masing-masing duduk di rumah. “Apabila masuk waktu, laungkan azan di rumah dan berjemaah bersama-sama keluarga.

“Semoga Allah SWT memberkati kita semua walaupun kita tidak dapat menunaikan solat lima waktu di surau dan masjid secara berjemaah. “Gunakanlah peluang yang ada ini untuk kita solat bersama-sama keluarga. “Mungkin sebelum ini kita jarang bersama-sama mereka kerana sibuk dengan kerja, urusan dunia dan sebagainya.

“Ini peluang untuk bersama-sama mereka dengan menunaikan ibadah seperti membaca al-Quran, bertadarus dan sebagainya,” tambahnya.

Jelasnya lagi, ini peluang masyarakat mendalami hukum syarak yang berkaitan dengan keadaan darurat. “Justeru dalam usaha yang dilakukan, kita jangan berputus asa daripada mengharap bantuan Allah SWT.

Berdoa dengan tulus kepada-Nya termasuk beristighfar dan sebagainya,” tambahnya. Beliau juga menyeru semua pihak agar menjaga kebersihan kerana Islam menuntut masyarakat menjaga kebersihan terutama anggota badan, pakaian, tempat kediaman dan sebagainya.

“Mungkin sebelum ini kita jarang dapat membersihkan kawasan rumah. “Jadi inilah peluang untuk kita membiasakan diri dengan perkara yang benar dan betul supaya kehidupan kita lebih bahagia pada masa akan datang. “Semua pihak perlu mengingati antara satu sama lain mengenai keperluan untuk menjaga keadaan ini.

“Kita juga berharap agar diberikan kekuatan, kesabaran, ketenangan dalam berhadapan dengan situasi yang berlaku ini. “Semoga Allah SWT mempercepatkan hilangnya wabak Covid19 yang melanda negeri, negara dan seluruh dunia,” doanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU