Bantu pesakit kanser dapatkan rawatan

KUCHING: Pertubuhan untuk Advokasi dan Kesedaran Kanser (Scan) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPKK) supaya Kerajaan Sarawak dapat membantu pesakit kanser yang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menteri KWKPKK Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya mendengar permohonan yang dikemukakan oleh Scan dan memahami cabaran yang dihadapi oleh pesakit kanser di negeri ini.

“Hari ini merupakan perbincangan kedua kami berhubung perkara tersebut dan berharap pada perbincangan ketiga kelak, kita akan memperoleh kertas kerja akhir.

“Kita minta Scan mengeluarkan kertas cadangan dan disertakan dengan garis panduan (SOP). Kita juga menggunakan pengalaman lalu ketika membantu pesakit buah pinggang di negeri ini,” katanya pada sidang media menerusi aplikasi Zoom selepas menerima kunjungan hormat daripada Sca pada Isnin.

Tambah Fatimah, cadangan memberi bantuan itu juga untuk mengurangkan jumlah kegagalan pesakit kanser untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital, sekali gus mengurangkan beban mereka.

“Pesakit kanser perlu mendapatkan rawatan susulan dan disebabkan itu juga sesetengah pihak khususnya golongan B40 berhadapan dengan cabaran dari segi kewangan.

“Mereka juga perlu menanggung kos pengangkutan dan penginapan sekiranya tiada rumah saudaramara yang boleh digunakan… ia juga memerlukan kos,” ujarnya.

Menjelas lanjut Fatimah berkata, kemudahan lengkap untuk pesakit kanser kebanyakannya terdapat di HUS termasuk proses radioterapi, kemoterapi dan sebagainya.

“Justeru, pihaknya ingin melihat cadangan dari segi kumpulan sasar, jenis dan kadar bantuan yang boleh diberikan. Apabila kertas cadangan sudah siap, ia akan dibentangkan di peringkat kabinet.

“Kita juga berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memberikan lebih banyak bantuan kepada pesakit kanser daripada golongan B40 di Sarawak,” tegasnya.

Sehubungan itu, Fatimah berharap agar kertas cadangan seterusnya dapat dipersetujui dan mereka menyasarkan pembentangan di peringkat kabinet pada Mac nanti.

Sementara itu, Penasihat Perubatan Scan Dr Adibah Ali berkata, 70 peratus pesakit kanser di Sarawak merupakan mereka yang berpendapatan rendah. “Kita mencadangkan Kerajaan Sarawak memberikan sedikit bantuan kepada pesakit kanser yang mendapatkan rawatan di HUS kerana mereka ini menghadapi cabaran dari segi kewangan.

“Selain itu, mereka juga terpaksa membayar kos pengangkutan dan lain-lain untuk mendapatkan rawatan di HUS. “Disebabkan perkara ini, ada pesakit yang gagal mendapatkan rawatan mereka,” ujarnya.

Menurut laporan Daftar Kanser Negara, dari 2012 hingga 2016 terdapat 10,297 pesakit yang disahkan menghidap kanser di Sarawak.

Ekoran itu, kes yang paling tinggi melibatkan kanser payudara seterusnya kanser rahim, kanser paru-paru, kanser prostat, kanser nasofaring (juga dikenali sebagai barah hidung), kanser ovari, kanser kolon, kanser perut, kanser rektum dan kanser hati.

Suara Sarawak