ARTIKEL

Nazran merakam video untuk kandungan TikTok.

Bantu warga emas celik digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Program literasi digital bukan sahaja membantu warga emas memahami penggunaan teknologi moden, tetapi juga menggalakkan interaksi dengan dunia maya.

Ia penting untuk merapatkan jurang di antara golongan muda dan warga emas, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mengenali teknologi dan berkomunikasi dengan lebih luas.

Komitmen warga emas dalam literasi digital juga sangat penting untuk memastikan mereka dapat beradaptasi dengan kemajuan teknologi yang semakin pesat.

Seramai 41 peserta menyertai Program Literasi Digital Warga Emas yang dianjurkan di Pustaka Negeri Sarawak, baru-baru ini. 

Sesi ini bertujuan untuk memberi pendedahan tentang penggunaan aplikasi TikTok dengan cara yang selamat dan beretika.

Selain itu, program anjuran kelab Elderly Digital Literacy dengan sokongan Pustaka Negeri Sarawak ini juga membantu warga emas memahami manfaat teknologi dalam kehidupan harian, sekali gus menggalakkan mereka mencipta kandungan positif di platform tersebut.

Dengan ini, mereka bukan hanya belajar menggunakan teknologi, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan media sosial dengan cara yang positif.

Menurut koordinator program, Sajali Mohamad, 72, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Jali, kelab Elderly Digital Literacy adalah yang pertama diwujudkan di Sarawak untuk memastikan konsep pembelajaran sepanjang hayat diteruskan.

Sajali Mohamad,72 tahun.

Pembelajaran dilakukan dalam suasana santai, membolehkan warga emas menerima ilmu dengan baik. Program ini memberi pendedahan kepada mereka tentang penggunaan telefon pintar, media sosial dan aplikasi digital.

Kaedah pembelajaran secara individu melalui video tutorial dan panduan bertulis juga digunakan untuk memastikan mereka lebih mudah memahami dan mencuba aplikasi tersebut secara langsung.

cabaran

Sementara itu, Ketua Fasilitator program, Muhammad Nazran Mohd Fitri, 19, berkongsi pengalaman ketika pertama kali mengajar warga emas. Walaupun berasa sedikit cemas kerana perbezaan umur dan pengalaman, namun selepas setengah jam berlalu, suasana pembelajaran menjadi mesra dan positif.

Ketua Fasilitator program,Muhammad Nazran Mohd Fitri 19 tahun.

Nazran mengakui bahawa cabaran terbesar adalah kesabaran, kerana mengajar warga emas memerlukan banyak pengulangan disebabkan kurangnya pengetahuan asas teknologi. 

Nazran berharap lebih ramai golongan muda akan bekerjasama dengan warga emas dalam bidang literasi digital.

Beliau percaya TikTok ialah platform yang efektif untuk mendidik warga emas tentang keselamatan dalam talian kerana format video yang mudah difahami.

Pengalaman mengajar warga emas bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, tetapi juga membuka peluang untuk golongan muda belajar bersama-sama dan mengurangkan jurang antara generasi.

Menurut salah seorang peserta, Rohana Seruji, 66, dia sedia maklum dengan aplikasi TikTok, namun belum mahir memanfaatkannya.

“Saya perlu belajar cara penyuntingan video dengan lebih baik. Saya suka bergambar dan menyimpan gambar-gambar menarik, jadi kemahiran ini penting bagi saya,” katanya.

Kini Rohana memiliki kemahiran dalam asas penyuntingan gambar dan memindahkan gambar ke peranti yang lain.

Rohana Seruji, 66 tahun.

“Sebelum ini saya hanya mengambil gambar dan terus memuat naik ke media sosial. Sekarang, saya lebih yakin selepas belajar teknik penyuntingan gambar.

“Saya aktif menghadiri kelas tiga kali seminggu, iaitu pada Isnin, Rabu dan Khamis. Saya sangat menikmati suasana pembelajaran, dapat bergaul dengan cikgu dan rakan-rakan, serta bertemu ramai kenalan baharu,” dedahnya.

Tambahnya, dengan kemudahan media sosial tersebut, dia juga aktif mengikuti perkembangan berita semasa.

Sementara itu, bagi Siti Alawiah Abdul Rahim, 60, literasi digital seperti TikTok memberi banyak manfaat jika digunakan dengan bijak.

Katanya, warga emas perlu berfikiran terbuka dan peka dengan perkembangan teknologi semasa, walaupun ia bukan sebahagian daripada zaman mereka.

“TikTok menjadi platform untuk mempromosikan kemahiran seperti memasak, menjahit atau berkarya, terutama dalam era teknologi kini.

“Melalui kandungan pendek seperti video satu minit, pelbagai maklumat bermanfaat dapat diperoleh, asalkan kita bijak memilih kandungan yang sesuai.

“Perkongsian kebaikan juga tidak terhad kepada ceramah semata-mata. Video pendek boleh menjadi medium efektif untuk menyampaikan ilmu dan inspirasi,” ujarnya.

Justeru, dia berharap lebih ramai warga emas menyertai program literasi digital seperti yang dianjurkan oleh Pustaka Negeri Sarawak.

Bagi Mohamed Jamel Nusi, 76,  program ini membuka peluang kepada warga emas untuk mempelajari asas TikTok. Aktiviti ini membolehkan warga emas mengenali teknologi baharu dan merapatkan jurang generasi.

Mohamed Jamel Nusi, 76 tahun. 

Pendekatan secara individu semasa pembelajaran memudahkan pemahaman dan meningkatkan keyakinan peserta untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Sebagai bekas guru dan pelukis, saya melihat TikTok sebagai platform untuk mengetengahkan bakat melukis saya dengan lebih luas.

“Dengan mempelajari cara menghasilkan kandungan kreatif berkualiti, saya dapat mempromosi hasil karya secara profesional.

“Pendekatan ini penting untuk memastikan kandungan yang dimuat naik memberi manfaat tanpa mendedahkan maklumat peribadi,” katanya.

PERKONGSIAN

Tambahnya, TikTok bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium untuk berkongsi ilmu, seni dan bakat kepada masyarakat.

Senada dengannya, Faizal Baharuddin, 47, berkata program mempelajari asas TikTok ini sangat menarik kerana ia memberi peluang yang jarang ditemui.

Faizal Baharuddin, 47 tahun.

“Walaupun saya belum tergolong dalam golongan warga emas. Saya amat seronok dapat berjumpa dengan rakan-rakan.

“Sebelum ini, saya pernah mendengar tentang TikTok, tetapi tidak pernah membuka akaun kerana sibu dengan kerja sebagai pendidik.

“Setelah diajak oleh rakan, saya memutuskan untuk menyertai program ini,” katanya.

Walaupun celik digital, pengetahuan Faizal dengan aplikasi TikTok agak terhad, memandangkan platform ini lebih sinonim dengan generasi muda.

Dengan menyertai kelas asas TikTok, Faizal dapat memanfaatkan banyak perkara baharu.

“TikTok ternyata merupakan platform yang sangat berguna jika digunakan dengan cara yang betul.

“Ia boleh menjadi saluran yang baik untuk berkongsi ilmu, maklumat terkini dan pelbagai kandungan positif yang lain.

“Saya bersyukur dapat peluang ini kerana ia memberi pendedahan yang sangat bermanfaat dalam menguasai platform yang semakin popular ini,“ tambahnya.

BERITA LAIN

Rumah Oren sukar ditandingi

HEBAT dan sukar ditandingi. Demikian gambaran keunggulan kontinjen Rumah Oren apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Tambay 2026, baru-baru ini.

BERITA TERBARU

Sarawak antara lokasi penubuhan Pusat NICE

KUCHING: Sarawak dan Pulau Pinang dikenal pasti sebagai lokasi penubuhan dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) bagi memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan berkualiti dan mampu