Bantuan banjir diagih secara adil

MUKAH: Setiap orang yang terjejas banjir akan dipastikan mendapat bantuan daripada kerajaan, tanpa mengambil kira perbezaan politik.
Ini disaksikan ketika pengagihan bekalan makanan kepada mangsa banjir di Daerah Matu oleh Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, semalam apabila jelas sekali ada bendera parti lain dipacakkan di hadapan rumah penerima, namun bantuan tetap sampai dan diberikan.
Malah, Juanda memberi jaminan bahawa setiap penduduk terjejas banjir akan mendapat bantuan sewajarnya.
“Setiap penduduk yang terjejas akibat banjir akan mendapat bantuan sewajarnya mengikut hitungan isi rumah termasuk ketua isi rumah,” katanya selepas mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk terjejas banjir di sini, semalam.
Jika ada yang tercicir, beliau meminta mereka untuk berhubung segera dengan ketua masyarakat masing-masing.

BERBEZA BENDERA… Biarpun berbeza bendera parti ia tidak menghalang bantuan tetap dihantar kepada penduduk yang terjejas banjir di Daerah Matu pada Sabtu yang disampaikan sendiri oleh Juanda Jaya.

Ini supaya tindakan sewajarnya akan dapat diambil oleh pihak Jawatankuasa Bencana Daerah Matu dan bantuan akan diberikan.
Difahamkan, setiap isi rumah layak mendapat bantuan bencana banjir bernilai RM50 terdiri daripada makanan dan juga beras.
Untuk Daerah Matu, sekitar 14,000 orang daripada 29 buah kampung terjejas akibat banjir pada kali ini.
Juanda turut menyifatkan banjir kali ini luar biasa kerana faktor hujan lebat dan juga air pasang besar berlaku serentak.
Turut sama ketika pengagihan adalah Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad, Pengerusi Masjid Dearah Matu Che Jeni Shadan, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu Left. (PA) Jumaat Akasas serta ketua masyarakat setempat.