DALAM tempoh sebulan November lalu, berlaku dua kes pembuangan bayi di Bahagian Kuching.
Sementara pada tahun ini, tiga kes pembuangan bayi dilaporkan iaitu di Moyan Square, Batu Kawa pada 17 Ogos, di MJC Batu Kawa pada 23 November dan di kawasan semak Bandar Baru Samariang pada 29 November lalu.
Dua daripada tiga bayi yang dibuang itu ditemui masih hidup dan dalam keadaan sihat serta cukup sifat.
Manakala bayi yang ditemui di kawasan pembuangan sampah MJC Batu Kawa sudah tidak bernyawa.
Semua kejadian berkenaan melibatkan pelaku remaja dan wanita belum berkahwin berusia 14 hingga 23 tahun. Seorang daripada mereka wanita warga asing, manakala dua lagi rakyat tempatan.
Ya, salah seorang pelaku ialah pelajar perempuan berusia 14 tahun.
Terkejut?
Pada usia begitu muda, sepatutnya dia masih berada di bangku sekolah, berseronok dan menikmati usia remaja bersama-sama rakan sebaya.
Tetapi dalam usia yang mentah itu, dia sudah menghadapi cabaran hidup getir apatah lagi kini dalam tahanan pihak polis untuk siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengapa gejala sosial seperti ini masih berlaku dalam keadaan negara berkembang pesat dan dunia serba moden?
Di mana kesilapan kita sebagai masyarakat? Mengapa ibu bapa, keluarga mereka tidak memantau? Persoalan yang sering bermain di fikiran apabila kejadian seperti ini berlaku.
Tidak dinafikan ia memang mengejutkan, menyentuh hati, kecewa, menyebabkan kita marah dan sebagainya.
Namun perlu dilihat dari pelbagai sudut mengapa dan kenapa isu sosial sebegini seperti tiada titik noktah.
Kemelut pembuangan bayi semakin berleluasa.
Bayangkan, ada juga yang membungkus mayat bayi dengan plastik, mencekik bayi sebelum ditanam, dibuang ke dalam mangkuk tandas, bahkan ada yang sanggup menanam bayi hidup-hidup.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, sejumlah 256 kes pembuangan bayi direkodkan di seluruh negara sepanjang 2020 hingga 2022 berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengikut ahli kriminologi, pengaruh rakan sebaya dan pergaulan bebas, suka sama suka, ingin mencuba seks, terlalu percayakan lelaki, terdedah aktiviti seksual secara berleluasa melalui jaringan Internet, persekitaran tempat tinggal dan dirogol, antara sebab remaja terjebak dalam gejala pembuangan bayi.
Di samping berpunca daripada hubungan renggang antara anak dan ibu bapa, cara hidup mereka yang berasal dari kampung berhijrah ke bandar yang akhirnya mereka kurang pengawasan dan kasih sayang, turut mempengaruhi tingkah laku sebegini.
Ada juga mereka yang cukup didikan agama turut terlibat dalam gejala pembuangan bayi kerana takut dengan penerimaan serta pandangan serong keluarga serta masyarakat.
Akhirnya, mereka mengambil jalan mudah untuk membuang bayi tanpa mengira kesan pada kemudian hari.
Tanpa mereka sedar sebenarnya tindakan itu akan membesarkan serta lebih menghebohkan kejadian sehingga membawa kepada penangkapan oleh pihak polis.
Tetapi dalam masa yang sama, ramai berpandangan bukan wanita sahaja patut menerima hukuman, pelaku lelaki yang menghamilkan itu juga mesti dihukum serta diheret ke mahkamah untuk bertanggungjawab.
Dari segi teknologi, tiada yang mustahil pelaku dijejaki bersama-sama ‘pasangan’ memandangkan Asid deoksiribonukleik (DNA) boleh dikaji seperti dalam kes pembunuhan dan kes-kes lain.
Semua yang terjadi itu tidak seharusnya dituding ke atas kesilapan perempuan dan menidakkan liabiliti pihak lain.
Faktor niat wanita berbuat demikian perlu dikaji oleh pihak berkuasa kerana kemungkinan si pelaku berniat hanya untuk memberi bayi yang dilahirkan kepada pihak lain tanpa menyebabkan kematian, dengan harapan dapat diselamatkan oleh mereka yang menemuinya.
Sementara di pihak kerajaan, isu ini perlu ditangani secara tuntas, ambil tindakan proaktif serta bantuan sosial yang mungkin diperlukan dalam aktiviti pencegahan.
Penggemblengan tenaga segenap lapisan masyarakat diperlukan bagi menangani permasalahan kes pembuangan bayi.
Isu ini akan lebih berjaya untuk ditangani sekiranya semua pihak berganding bahu seiringdengan konsep de-institusi dengan anakanak diberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian di bawah penjagaan ahli keluarganya sendiri dan bukannya di institusi, selain keluarga.
Dengan konsep kekeluargaan terus dihormati dan dihargai, kes pembuangan bayi tidak akan berleluasa.
Pokok pangkal, segala-galanya bermula di rumah.



