SIBU: Seorang bapa dan anak lelakinya, masing-masing berusia 39 dan 12, cedera parah dalam kejadian tong gas meletup di Lorong Permai Timur 9 di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie, berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran silinder LPG yang menyebabkan letupan kecil.
Ia mengakibatkan api merebak ke mesin basuh dan sedikit runtuhan berlaku pada bahagian siling dapur.
Menurut Andy, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 petang dan tiba di lokasi kejadian pada jam 1.29 petang, kira-kira 13 kilometer dari balai.
Sebelum ketibaan pasukan bomba, jelasnya, kedua-dua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sibu oleh orang awam.

“Kebakaran berlaku akibat kebocoran silinder LPG yang menyebabkan letupan, dan api merebak ke mesin basuh.
“Beberapa runtuhan kecil turut berlaku di bahagian siling dapur akibat letupan tersebut,” jelasnya.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, yang terdiri daripada 11 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohd Faizal Bujang, telah menjalankan operasi pemadaman menggunakan sebuah jentera FRT dan Hilux.
Rentetan itu, Andy mengingatkan orang ramai untuk sentiasa memeriksa peralatan gas di rumah bagi mengelak kejadian serupa, dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan di rumah masing-masing.
Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Si bapa difahamkan masih dirawat dalam Zon Merah manakala anaknya dalam Zon Kuning di Hospital Sibu selepas masing-masing mengalami kelecuran.




