KUCHING: Dua beradik berusia 12 dan 10 tahun masih menanti kepulangan bapa mereka yang menghilang sejak 7 Ogos lalu, ketika ibu serta datuk dan nenek mereka pula didakwa berdepan gangguan pemungut hutang atau ‘Ah Long’.
Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo berkata, isteri lelaki terbabit cuba menghubunginya pada hari kejadian menerusi panggilan telefon dan WhatsApp, namun tidak mendapat sebarang respons.
“Wanita berusia sekitar 30-an itu kemudian menghubungi bapa mentuanya yang memaklumkan anaknya sudah dua hari tidak hadir bekerja dan mereka juga tidak mengetahui keberadaannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP, hari ini.
Dalam keadaan bimbang kata Milton, wanita itu memeriksa rumah sebelum mendapati beg pakaian serta beberapa helai pakaian suaminya sudah tiada sebelum menemukan sepucuk surat tulisan tangan yang ditinggalkan untuk ibu bapanya.
Dalam surat itu katanya, lelaki terbabit memohon maaf kerana mempunyai hutang yang banyak, meminta masa untuk melunaskannya serta meminta ibu bapanya membuat laporan polis sekiranya didatangi penuntut hutang.
“Pada 11 Ogos lalu, lima lelaki yang dipercayai pemungut hutang didakwa datang ke rumah ibu bapa lelaki terbabit dan meminta ibunya melunaskan hutang berkenaan.
“Bagaimanapun, wanita berusia lingkungan 50-an itu memaklumkan bahawa dia tidak mampu berbuat demikian,” katanya.
Milton berkata, empat lelaki pula didakwa datang semula ke rumah berkenaan pada keesokan harinya dan memberi amaran akan mengambil kereta, rumah serta barangan keluarga secara paksa sekiranya hutang tidak dibayar.
Ketika kejadian kata Milton, datuk dan nenek lelaki terbabit yang berusia lebih 80 tahun turut berada di rumah.
“Bimbang keselamatan mereka, ibu dan bapa lelaki itu membuat laporan polis, manakala isterinya turut berbuat demikian kerana khuatir pemungut hutang berkenaan datang ke rumahnya yang didiami bersama dua anak mereka,” katanya.
Milton berkata, lelaki itu hanya menghubungi isterinya menerusi WhatsApp selepas laporan polis dibuat pada 11 Ogos lalu, sekadar memaklumkan bahawa dirinya selamat namun enggan mendedahkan keberadaannya.
Sementara itu beliau berkata, baucar pembayaran yang ditunjukkan kepada keluarga berkenaan mencatatkan jumlah pinjaman termasuk faedah mencecah RM120,000, manakala keluarga terbabit memaklumkan jumlah sebenar yang diterima lelaki itu adalah sekitar RM90,000 hingga RM91,000.
Katanya, dokumen berkenaan ditandatangani pada 17 April lalu, namun perbezaan jumlah itu masih perlu disahkan berdasarkan dokumen pinjaman sebenar.
“Pihak pemiutang atau agensi kutipan hutang perlu menggunakan saluran undang-undang untuk mendapatkan semula hutang dan tidak menggunakan ugutan, gangguan atau kekerasan terhadap penghutang serta ahli keluarganya.
“Jangan tinggalkan masalah ini kepada isteri, ibu bapa atau datuk dan nenek. Dia perlu ingat dua anak kecilnya masih menunggu kepulangannya.
“Apa juga masalah hutang yang dihadapi, ada jalan untuk menyelesaikannya melalui saluran undang-undang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pinjaman dalam talian kerana berisiko menjadi mangsa penipuan, terutama apabila ditawarkan sejumlah wang kecil sebelum diminta membayar semula jumlah yang jauh lebih besar.





