Bas bawa rombongan pelajar SMK Hulu Belingan tersangkut pada laluan bawah jejambat

KUCHING: Rombongan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hulu Belingan, Bintulu berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki mereka tersangkut pada laluan bawah jejambat di Jalan Tun Datuk Patinggj Haji Abdul Rahman Yakub di Petra Jaya, dekat sini.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.20 pagi tadi ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Santubong.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, kemalangan disebabkan pemandu bas syarikat Sungai Merah Express terbabit tidak biasa dengan keadaan laluan berkenaan.

“Pemandu bas yang tidak biasa dengan keadaan laluan di Kuching telah tidak sengaja memasuki laluan jejambat di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub dan tidak perasan papan tanda had ketinggian lalu lintas yang dipamerkan iaitu 2 meter.

“Akibat kemalangan itu, bas tersangkut di laluan bawah jejambat tersebut dan mengalami kerosakan pada bahagian bumbung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson berkata pemandu bas berusia 42 tahun dan semua penumpang bas tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Beliau berkata pemandu bas yang berasal dari Miri juga sudah datang membuat laporan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana sabit kesalahan boleh dikenakan penalti kerana mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas.

Bas ekspres yang dinaiki rombongan SMK Hulu Belingan Bintulu tersangkut pada laluan bawah jejambat di Jalan Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub di Petra Jaya, dekat sini dalam kejadian berlaku sekitar jam 9.20 pagi tadi.

Suara Sarawak