Bas hidrogen: Sarawak bukan lagi bermimpi

KUCHING: Bermula semalam, selama dua minggu, penduduk bandar raya ini akan menyaksikan uji pandu tiga bas hidrogen di beberapa lokasi yang ditetapkan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bas ini merupakan pengangkutan awam cara baharu yang mesra alam dan tidak akan menjejaskan alam sekitar.

“Dahulu kita sudah mencuba bas elektrik dan menggunakan bateri.

“Di seluruh dunia berdapan masalah untuk melupuskan penggunaan bateri.

“Bateri tersebut perlu diganti dan kita di Sarawak mencari jalan keluar dari masalah tersebut dengan mewujudkan bas hidrogen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Bandaraya Kuching Ke-31, di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini semalam.

Katanya, hidrogen terhasil daripada sumber air dan di Sarawak sangat kaya dengan sumber tersebut.

“Kuasa hidrogen ini akan menjalankan motor yang ada di dalam bas,” katanya.

Kuching merupakan bandar pertama memiliki bas hidrogen di Asia Tenggara manakala negara jiran, Indonesia bakal menggunakan kuasa hidrogen pada kereta api.

Jelasnya, selepas 31 tahun banyak perkara yang perlu diubah termasuk isu pengangkutan awam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Datuk Bandar Kuching Utara. Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai,dan Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk James Chan Khay Syn.

Baru-baru ini, Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir berkata, bas hidrogen akan menjalani tempoh percubaan selama dua minggu bermula pada 1 Ogos.

Bas tersebut akan bergerak di sekitar bandar sebagai sebahagian daripada tempoh percubaan dan tidak akan membawa penumpang.

Suara Sarawak