ARTIKEL

Batik tawan generasi muda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“Saya tidak mahu batik hanya dianggap sebagai kain basahan. Saya mahu menjadikan batik lebih fashionable (bergaya).”

Kata-kata pereka busana batik, Siti Adeena Muneera Zakaria, itu mencerminkan mesej kepada masyarakat agar mengubah persepsi lama terhadap batik yang sering dianggap sekadar kain tradisional.

Seiring dengan perkembangan trend fesyen semasa, persepsi masyarakat terhadap batik semakin berubah. Batik kini kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, khususnya penduduk bandar dan generasi muda.

Mereka menggayakan pakaian batik sebagai satu cara untuk menampilkan identiti tempatan tanpa kelihatan lapuk atau terlalu formal.

Dengan adanya media sosial dan sokongan pereka fesyen tempatan, batik tidak lagi terhad kepada acara rasmi. Sebaliknya, batik kini dipopularkan sebagai busana harian yang versatil dan berimej moden.

Perkembangan ini sekali gus membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk mengetengahkan kreativiti mereka dalam memberikan wajah baharu kepada batik mengikut cara tersendiri.

Siti Adeena, 31, ialah pereka busana batik yang menjadikan bidang batik sebagai sumber pendapatan sejak lapan tahun lalu.

Kini, beliau giat memperkenalkan batik sebagai pilihan fesyen moden yang lebih kontemporari dan mudah digayakan.

Baginya, batik tidak seharusnya dilihat hanya sebagai pakaian eksklusif atau terlalu tradisional.

Siapa sangka, minat menjahit yang tercetus daripada legasi arwah neneknya membuka jalan kepada seorang usahawan muda dari Kuching untuk membina perniagaan sendiri.

“Sejak kecil, saya memang suka melihat nenek menjahit. Jika ada lebihan kain, kami akan mengumpulkannya dan cuba menjahit sendiri.

“Saya antara cucunya yang mengikut jejaknya dalam bidang jahitan. Dari situlah minat itu bermula,” katanya.

Berbekalkan minat yang semakin berkembang, Siti Adeena kemudiannya menubuhkan jenama fesyennya sendiri yang dikenali sebagai Mantra.

Nama jenama Mantra mempunyai nilai sentimental kerana diambil daripada nama arwah datuknya, Mantrang.

Nama itu dipendekkan menjadi “Mantra” sebagai tanda penghormatan kepada keluarganya yang menjadi sumber inspirasi.

Pada peringkat awal, Siti Adeena sekadar menjahit secara suka-suka sekitar 2018 dengan menerima tempahan daripada ahli keluarga dan kenalan rapat.

Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada orang sekeliling, Siti Adeena mula melihat potensi untuk mengembangkan minat tersebut menjadi sebuah perniagaan.

Rekaan pertamanya menampilkan baju kurung Kedah berinspirasikan batik dengan gabungan motif dari Sarawak, Malaysia dan Indonesia bagi mewujudkan identiti tersendiri.

“Keistimewaan batik tidak terhad kepada pakaian tradisional atau acara rasmi semata-mata.

“Bagi saya, batik bersifat universal, berwarna-warni dan boleh digayakan oleh semua golongan,” tegasnya.

Berpegang pada prinsip itu, Siti Adeena mula menghasilkan rekaan yang lebih santai, moden dan praktikal agar mudah digayakan tanpa menghilangkan identiti budaya yang terkandung dalam setiap corak batik.

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, beliau tampil dengan idea menghasilkan Mantra Oversize Outerwear, iaitu kardigan bersaiz bebas yang diinspirasikan daripada keperluan pelanggan.

Menurutnya, konsep satu saiz bukan sahaja memudahkan pelanggan membeli rekaan batiknya tanpa perlu mengambil ukuran badan secara terperinci, malah menjadikan batik lebih mudah digayakan oleh semua golongan.

“Satu saiz boleh dipakai oleh semua orang. Lelaki atau perempuan, sama ada berbadan kecil atau besar, semuanya boleh menggayakannya,” ujarnya.

Menariknya, rekaan Siti Adeena turut mengetengahkan elemen budaya tempatan menerusi penggunaan motif seperti pua kumbu, iaitu tekstil tradisional masyarakat Iban yang diolah dalam bentuk lebih moden dan mudah digayakan.

Blaus bermotifkan pua kumbu yang dihasilkannya direka dengan potongan longgar dan mudah dipadankan, sekali gus membolehkan pemakai menggayakannya bersama skirt atau seluar mengikut kreativiti masing-masing.

Menurut beliau, penggunaan motif pua kumbu bukan sahaja memperkenalkan budaya Sarawak kepada masyarakat luar, malah membantu memastikan warisan tersebut terus dikenali oleh generasi muda.

“Ramai pelanggan dari Semenanjung sangat menyukai motif pua kumbu kerana coraknya yang unik dan berwarna-warni.

“Mereka tertarik dengan identiti budaya yang ditampilkan menerusi rekaan tersebut,” tambahnya.

Usaha mengangkat batik dan motif tempatan itu ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan. 

Permintaan terhadap rekaan Siti Adeena bukan sahaja datang dari Sarawak, malah turut diterima dari Semenanjung Malaysia.

Hasil penyertaannya dalam pelbagai acara seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan acara di MITEC, Kuala Lumpur, jenamanya berjaya menembusi pasaran antarabangsa termasuk Brunei, Singapura, China, Dubai, London dan Australia.

Pelanggan luar negara sering memilih koleksi pakaian luar bersaiz besar yang menampilkan motif budaya tempatan kerana keunikannya yang sukar ditemukan di tempat lain.

“Ada yang membeli untuk dijadikan hadiah dan ada juga yang mahu memiliki sesuatu yang melambangkan budaya Sarawak,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut memberikan perhatian terhadap aspek keselesaan dan kemampuan pelanggan dengan memastikan setiap koleksi dijual pada harga berpatutan.

Harga koleksinya bermula sekitar RM65, manakala set Mantra Two Piece dijual antara RM130 hingga RM150, bergantung pada jenis fabrik yang digunakan.

Menurutnya, usaha mengangkat batik tidak akan berjaya sekiranya masyarakat menganggap pakaian bercorak tradisional terlalu mahal atau sukar dimiliki.

“Saya mahu lebih ramai orang memakai batik. Oleh sebab itu, saya cuba memastikan harganya kekal mampu milik,” jelasnya.

Siti Adeena percaya fesyen boleh menjadi medium penting untuk memperkenalkan budaya dan warisan kepada masyarakat.

Setiap helaian pakaian yang dihasilkan bukan sekadar busana, malah membawa cerita tentang identiti, warisan dan kebanggaan terhadap budaya tempatan.

Daripada sekadar kain bercorak tradisional, beliau berjaya membuktikan batik mampu bergerak seiring dengan fesyen moden tanpa menghilangkan nilai asalnya.

Melalui kreativiti dan inovasi, Siti Adeena terus membuktikan warisan tidak semestinya kekal pada masa lalu, sebaliknya boleh terus hidup dan berkembang dalam arus fesyen masa kini.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU