ARTIKEL

Dr. Sim bercakap pada Program Jelajah Integriti Sarawak di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa, Kuching, hari ini..

Batu Kawa bakal miliki taman rekreasi seluas 70 ekar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka melancarkan cadangan pembangunan Taman Rekreasi Bandar Batu Kawa — merangkumi kawasan seluas lebih 70 ekar termasuk taman tema air lebih 20 ekar.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, perancangan tersebut kini sedang diperincikan termasuk cadangan membina Laluan Kuning Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) ke Batu Kawa.

Pembangunan itu merupakan lanjutan kepada Projek Rejuvenasi Kuari Ang Cheng Ho Batu Kawa dan melibatkan keseluruhan kawasan termasuk tanah lapang milik syarikat swasta dari Kuari Ang Cheng Ho hingga ke Emart Batu Kawa.

“Kita sedang memperincikan perancangan supaya apabila Premier melancarkannya bulan depan, cadangan termasuk Laluan Kuning ke Batu Kawa dapat dibentangkan.

“Ketika ini sudah ada Laluan Merah, Hijau dan Biru, namun belum ada Laluan Kuning ke Batu Kawa walaupun kawasan ini mempunyai kira-kira 50,000 rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Integriti Sarawak Siri 46 Bilangan 3 Tahun 2026 Daerah Kuching di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa, di sini, hari ini.

Tambahnya, pembangunan taman rekreasi awam tersebut bertujuan meningkatkan landskap bandar raya Kuching selain merancakkan aktiviti pelancongan negeri.

“Kita mahu Batu Kawa bukan sekadar tempat untuk orang tinggal, tetapi menjadi kawasan untuk berehat dan mengamalkan kehidupan sihat.

“Sebab itu ia akan dibangunkan sebagai taman seluas lebih 70 ekar dan bukannya hanya dibangunkan dengan projek rumah kedai,” ujarnya.

Dr Sim berkata, konsep utama lain pembangunan tersebut ialah taman berasaskan air dengan keluasan lebih 20 ekar.

“Kawasan tersebut mempunyai sumber air yang besar kerana dibina di atas tempat takungan air sedalam lapan tingkat.

“Pembangunan itu akan dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu zon biru dan zon hijau yang saling dihubungkan,” jelasnya.

Ujarnya, zon biru akan menempatkan taman tema air serta hotel berkonsepkan air manakala zon hijau pula dibangunkan sebagai taman bandar moden.

Projek tersebut dibangunkan secara berperingkat dengan beberapa projek lain sudah disiapkan termasuk dewan serbaguna, hub inovasi TEGAS dan beberapa kemudahan lagi dengan kos RM20 juta di kawasan bekas kuari Ang Cheng Ho seluas 20 ekar yang merupakan tanah milik kerajaan negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU