KUCHING: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah mengenal pasti bahawa kawasan Bau merupakan antara 31 kawasan titik panas (hotspot) di Malaysia yang berdepan dengan ancaman tanah runtuh.
Menurut satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa antara kawasan lain yang terlibat adalah sekitar Lembah Klang, Tanjung Bungah dan Paya Terubong di Pulau Pinang, Ipoh dan Tanah Tinggi Cameron di Perak, dan juga Kundasang di Sabah.
Susulan itu, JMG telah melaksanakan pemantauan terhadap 254 cerun kritikal sebagai tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana geologi tanah runtuh menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada bulan ini.
“Sejumlah 104 lokasi cerun telah diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi, manakala 97 cerun kritikal sederhana, dan 53 lokasi cerun kritikal rendah.
“Hasil pemantauan mendapati sejumlah 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi, manakala 15 cerun sedang dalam tindakan, 202 cerun lagi masih dalam pemerhatian untuk tindakan selanjutnya.
“Sebarang maklumat hasil pemantauan cerun kritikal telah dibuat kepada agensi berkepentingan untuk tindakan susulan,” katanya.
Dalam pada itu, pihak JMG juga telah menjalankan pemetaan di tujuh lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi menghadapi bencana geologi aliran puing iaitu di TER Lata Iskandar, TER Sungai Tua, Selangor, TER Jeram Toi, Negeri Sembilan, TER Lata Payung, TER Chemerong dan TER Air Menderu di Terengganu.
Orang ramai yang berada di lokasi berisiko seperti di kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh diminta supaya peka dengan keadaan sekeliling.



