LUNDU: Pasukan Bauxite B muncul juara Kejohanan Futsal Tertutup Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan 2026.
Aksi akhir yang berlangsung di gelanggang futsal di Kompleks Sukan Lundu sebentar tadi menyaksikan Bauxite B menewaskan Belia Sileng 1-0.
Kemenangan itu membolehkan Bauxite B membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat.
Belia Sileng pula muncul naib juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala dan pingat.
Sementara itu, pasukan Horris B dan Bajo Mix FT yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500 berserta piala dan pingat sebagai pemenang tempat ketiga bersama.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh ADUN N.3 Tanjong Datu, Haji Azizul Annuar Adenan.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Datuk Abang Draup.
Kejohanan selama dua hari, bermula 11 hingga 12 Julai, dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda PBB Cawangan N.3 Tanjong Datu dengan kerjasama Belia Tertutup Lundu dan Sematan serta disertai 16 pasukan yang mewakili kelab dan kampung di Lundu serta Sematan.
Objektif penganjuran kejohanan itu adalah untuk menyediakan pentas kepada pemain mempamerkan bakat masing-masing.
Kejohanan itu juga diharap dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat, khususnya dari kawasan Lundu dan Sematan.
Selain itu, kejohanan tersebut menjadi wadah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan semua pihak yang terlibat, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan.






