KUCHING: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menangguhkan kutipan bayaran balik pinjaman Sahabat AIM dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) berkata, beliau telah menerima surat daripada Sahabat AIM dalam kawasannya (Cawangan Dalat) yang mempunyai 1,043 ahli dari 27 pusat atau kampung memohon untuk penangguhan bayaran tersebut dilakukan.
“Ketika ini Bahagian Sibu di bawah PKP dan bahagian lain di Sarawak pula di bawah PKPB, ia menyebabkan premis tempat berniaga tidak berjalan seperti biasa dan pergerakan juga terhad.
“Kesukaran untuk meneruskan perniagaan dalam tempoh tersebut juga menyebabkan pendapatan peminjam terganggu dan membuatkan mereka sukar membayar balik pinjaman setiap minggu,” katanya pada sidang media menerusi aplikasi zoom selepas mesyuarat bersama-sama dengan AIM, hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengurus Wilayah, AIM Wilayah Sarawak Jemat Itu Bujang berkata, penangguhan bayaran balik pinjaman itu juga melibatkan Mesyuarat Pusat (MP) yang berkuat kuasa pada 20 Januari hingga tempoh PKP dan PKPB ditamatkan.
“Bagi tempoh tahun lalu (2020) jumlah pinjaman Sahabat AIM di seluruh Sarawak adalah RM169,471,100 dan 99 peratus daripada peminjam berjaya membayarnya.
“Permohonan pinjaman AIM ini juga terbuka kepada kepada mereka yang berada dalam kategori B40 tanpa penjamin, cagaran dan sebagai,” ujar beliau.
Terdahulu, penangguhan kutipan bayaran balik pinjaman itu melibatkan seramai 44,946 orang sahabat atau peserta AIM di negeri ini.
Dalam perkembangan lain, Fatimah memaklumkan KWKPK akan bekerjasama dengan AIM Sarawak untuk memperkasakan kumpulan B40 khususnya wanita dalam industri perniagaan.
“Objektif AIM adalah untuk meningkatkan pendapatan dan keluar daripada kemiskinan dengan memberikan pinjaman kepada golongan B40, yang juga merupakan salah satu fokus utama kementerian kami.
“Justeru, dengan pinjaman yang diberikan oleh AIM, kementerian kami akan menawarkan latihan untuk menguruskan kewangan dengan baik.
“Ia termasuk dengan memberikan mereka latihan untuk meningkatkan kualiti produk dan sebagainya,” jelas beliau.
Sehubungan itu, Fatimah juga memberitahu kerjasama tersebut juga akan menguntungkan kedua-dua pihak dengan situasi ‘menang-menang’ dan dapat membantu masyarakat keluar daripada kemiskinan.

Galeri seni maya, pemasaran tanpa sempadan
KUCHING: Pelancaran galeri seni maya merupakan transformasi dan langkah ke